TikTok Mengaku Sebilangan Pekerja Mereka Boleh Akses Data Pengguna AS

TikTok dalam satu surat mengakui bahawa sebilangan pekerja mereka di China mempunyai akses terhadap maklumat pengguna Amerika Syarikat.

CEO TikTok, Shou Zi Chew pada 30 Jun tempoh hari mengatakan staf yang mempunyai kebenaran keselamatan sememangnya boleh mengakses maklumat pengguna TikTok AS namun ia tidak dikongsi pada kerajaan China dan tertakluk pada kawalan keselamatan yang ketat.

Kenyataan daripada TikTok ini susulan daripada senator-senator AS yang mendakwa TikTok dan ByteDance memantau rakyat AS.

Antara persoalan yang diajukan ialah apakah pekerja TikTok ada capaian terhadap maklumat pengguna AS dan apakah ia dikongsi dengan kerajaan China?


"Jawapan daripada TikTok mengesahkan keresahan kami tentang pengaruh kerajaan China dalam syarikat itu. Syarikat tersebut sepatutnya memberitahu sejak awal tapi mereka cuba menyembunyikannya. Rakyat Amerika Syarikat perlu tahu bahawa jika mereka di TikTok, China ada maklumat mereka" kata Senator Marsha Blackburn dari Tenesse.


TikTok juga mengatakan mereka sedang bekerjasama dengan kerajaan AS untuk mengukuhkan lagi keselamatan data. Usaha tersebut diterjemah melalui Projek Texas di mana TikTok akan menyimpan data di pelayan (server) di AS yang dimiliki oleh Oracle.

Jika berjaya, ini bermakna algoritma dan data aplikasi itu kelak akan disimpan dan dicapai secara domestik.



Sumber: Bloomberg