Alexa Nyaris Bunuh Budak Usia 10 Tahun Akibat Cabaran TikTok

Penggunaan Alexa atau pembantu maya mungkin tidak begitu menyeluruh di Malaysia namun sebaliknya di negara Eropah mahupun Amerika Syarikat. Masuk ke dalam rumah dan bercakap seorang bukanlah ritual pelik di sana kerana kemampuan pembantu maya memahami bahasa Inggeris serta ketersediaannya di pasaran sana.

Terbaru, beberapa media antarabangsa melaporkan sebuah kejadian yang berisiko meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Amerika Syarikat.

Dalam kejadian tersebut, Kristin Livdahl bersama anak perempuannya sedang melakukan aktiviti fizikal melalui video di YouTube. Anaknya kemudian berminat untuk mencuba lagi dan menggunakan arahan suara meminta Alexa memberi cadangan.

https://twitter.com/klivdahl/status/1475220450598924297?s=20

Alexa melalui Echo membalas dengan meminta anaknya memasukkan sebahagian dari plag ke dalam soket dan meletakkan duit syiling antara kedua-duanya. Secara logik, seseorang akan terkena renjatan elektrik dan boleh menyebabkan kebakaran kerana arus elektrik daripada soket yang mengalir ke plag turut mengalir ke duit syiling yang dipegang.

Rupa-rupanya, Alexa mengambil cabaran tersebut daripada hantaran di laman web ourcommunitynews.com yang pada 2020 yang berpunca daripada trend di TikTok. Ia dikenali sebagai "the penny challenge" dan tular sejak tahun lalu.

Mujurlah Kristin berada di sana maka tiada kejadian tidak diingin berlaku. "Anak saya berkata dia cukup bijak untuk tidak melakukannya," ujar Kristin yang menjerit pada pembesar suara Echo sejurus mendengar cadangan berbahaya tersebut daripada Alexa.

Pihak Amazon, pengeluar Alexa dan Echo berkata pada BBC bahawa mereka ambil maklum isu tersebut dan telah mengemas kini Alexa.

Sumber: BBC

Baca juga: