Tak Perlu Tesla, Ini 10 Syarikat Antarabangsa Lain Yang Melabur Di Malaysia

Berita berkenaan pertemuan Jokowi dengan Elon Musk baru-baru ini membuatkan sebilangan rakyat Malaysia berasa cemburu dengan minat syarikat-syarikat teknologi antarabangsa untuk melabur di negara jiran.

Namun, kadangkala kita perlu melayan sisi optimistik diri supaya peluang sedia ada tidak sia-sia hanya kerana sikap suka membandingkan.

Hal ini kerana banyak saja syarikat gergasi lain sudah lama bertapak di Malaysia. Jadi, tidak perlu gusar dan berasa kecewa, di sini kami senarai apa yang anda perlu tahu sebagai orang awam berkenaan pelaburan syarikat antarabangsa di Malaysia.

Microsoft


Bersama Malaysia Logo

Microsoft pada tahun lalu telah memaklumkan mereka akan menubuhkan pusat data serantau (datacenter region) pertamanya di Malaysia.

Selain itu, syarikat juga mengumumkan rancangan untuk meningkatkan kemahiran untuk 1 juta lagi rakyat Malaysia menjelang akhir 2023 dalam usaha membuka peluang ekonomi bagi insan dan perniagaan dalam era digital, menurut Microsoft.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penubuhan pusat oleh Microsoft itu dijangka berupaya menjana pendapatan baharu AS$4.6 bilion (RM19 bilion), selain pelaburan berjumlah AS$1 bilion (RM4 bilion) dalam masa 5 tahun.

"Ia dianggarkan akan membantu mewujudkan 19,000 peluang pekerjaan, termasuk 4,000 pekerjaan berkaitan teknologi maklumat (IT) dalam kalangan pengguna awannya," kata beliau ketika berucap melancarkan inisiatif Microsoft Bersama Malaysia sewaktu memegang jawatan perdana menteri.

Pusat data serantau itu akan menyediakan capaian kepada kemudahan Microsoft Cloud termasuk Microsoft Azure. Ia meliputi perkhidmatan dan keupayaan awan seperti perkomputeran, perangkaian, pangkalan data, analitik, kecerdasan buatan (AI) dan Internet Benda (IoT).

Amazon Web Services


aws malaysia Kapsyen: Kakitangan AWS Malaysia - YouTube AWS.


Beberapa hari lalu, kami telah laporkan bahawa Azmin Ali  telah memberitahu bahawa perbincangan Amazon Web Services (AWS) dengan beberapa agensi kerajaan sedang berjalan.

Bukan itu sahaja, syarikat cabang Amazon milik Jeff Bezos itu juga dikatakan akan membuat pelaburan besar dalam pembangunan pusat data di sini namun masih ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan dengan MIDA, MITI dan MOF.

Amazon Web Services ialah syarikat yang menyediakan perkhidmatan awanan (cloud) yang digunakan banyak syarikat lain termasuklah Netflix.

Berita penuh di sini.

Foxconn




Sebuah syarikat di bawah Foxconn telah memeterai perjanjian dengan syarikat tempatan baru-baru ini iaitu DNeX (Dagang NeXchange Berhad) untuk tempoh setahun bagi kilang pembuatan semikonduktor.

Foxconn sebelum itu sudah membeli 5% pegangan dalam syarikat tempatan itu dan mempunyai seorang ahli dalam lembaga.

DNeX juga dalam waktu lain sudah membeli Silterra, sebuah syarikat menghasilkan cip yang mempunyai kilang di Kulim.

Buat waktu ini, lokasi kilang Foxconn-DNeX masih tidak didedahkan namun ada kebarangkalian kilang Silterra turut akan digunakan untuk menghasilkan cip untuk Foxconn.

Walaupun Foxconn dikenali ramai sebagai pembekal Apple, namun cip dihasilkan di Malaysia kelak adalah untuk kereta elektrik, bukan telefon pintar.

Berita penuh di sini.

AMD




Advanced Micro Devices sedia mempunyai kilang di Pulau Pinang namun baru-baru ini, Malaysia telah meraih pelaburan bernilai sekitar RM2 bilion daripada TF AMD Microelectronics (Penang) Sdn Bhd.

Ia susulan penyerahan surat kelulusan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kepada syarikat itu di Amerika Syarikat yang turut sama disertai Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pelaburan itu untuk pelan pengembangan syarikat, yang akan mewujudkan 2,000 pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia.

Intel




Seperti AMD, Intel bukan sahaja mempunyai kilang di Pulau Pinang sejak 1972 tetapi juga di Kulim.

Hujung 2021, CEO Intel Pat Gelsinger telah mengatakan mereka akan melabur sebanyak kira-kira RM30 bilion ($7 bilion) membina kilang pemasangan dan ujian cip yang baru di Malaysia.

Nilai RM30 bilion ini dilabur dalam masa 10 tahun untuk kedua-dua lokasi Pulau Pinang dan Kulim namun kilang bagi proses pemasangan cip di Malaysia itu dijangka memulakan operasinya pada 2024.

Ia juga dijangka akan mencipta 4,000 peluang kerja di syarikat tersebut selain 5,000 peluang kerja pembinaan dalam negara, kata kerajaan.

DHL Express


May be an image of 7 people, people standing and indoor

Seperti dilaporkan BERNAMA dan Utusan, DHL Express baru saja memindahkan Pusat Khidmat Prai mereka ke kemudahan yang lebih besar di Batu Kawan, bernilai RM13 juta.

Ia dikatakan berpunca daripada peningkatan permintaan penghantaran antarabangsa daripada peniaga di negeri-negeri utara Semenanjung.

Sebelum itu, pada 2021, syarikat logistik ini telah menyatakan rancangan untuk melabur lebih kurang RM200 juta untuk gerbang laluan penyisihan automatik sepenuhnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjelang suku pertama 2023.

Ia terletak di Terminal Satu Kargo Udara KLIA (KACT1) dengan pintu masuk seluas 13,422 meter persegi akan menjadi hampir 3 kali ganda saiz kemudahan semasanya di KLIA.

ROHM-Wako Electronics


Kapsyen: Mustapa Mohamed,Mohamed Azmin Ali dan Ahmad Yakob dalam majlis pecah tanah fasiliti dan kilang tambahan RWEM di Pengkalan Chepa. - Utusan


Syarikat dari Jepun melabur di Kelantan, mungkin ini ayat yang tidak biasa didengar namun inilah yang berlaku Mac lalu.

ROHM-Wako Electronics (REWM), syarikayt elektronik terkemuka dari Jepun telah membuat pelaburan tambahan bernilai RM910 juta untuk pembesaran kilang dan fasilitinya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Ia akan mewujudkan 346 peluang pekerjaan dalam sektor elektronik berimpak tinggi kepada anak tempatan, selain meletakkan Kelantan sebagai negeri pengeluar semikonduktor terbesar di Pantai Timur.

“Fasiliti baharu milik RWEM akan dibina setinggi tiga tingkat dengan keluasan kira-kira 29,580 meter persegi pada suku pertama 2022 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos 2023,” kata Azmin Ali menurut Utusan.

Infineon


Infineon Technologies AG

Kulim ialah bandar yang boleh dikatakan dikhaskan untuk sektor perkilangan seperti Prai di Pulau Pinang. Nama Infineon bukanlah asing dalam kalangan penduduk Kulim atau mereka yang bekerja dalam sektor tersebut.

Syarikat dari Jerman ini merupakan pengeluar semikonduktor dan antara terbesar di dunia.

Februari lalu, Infineon mengatakan mereka mahu menambah kapasiti pengeluaran dalam semikonduktor 'wide bandgap' dan melabur lebih RM9.5 bilion (2 bilion euro) untuk membina modul ketiga di kilangnya di Kulim, Kedah.

Modul baharu itu akan menjana pendapatan tahunan tambahan sebanyakRM9.5 bilion dengan produk berasaskan silikon karbida (SiC) dan galium nitrida (GaN).

Apabila siap kelak, Kulim 3 akan mencipta 900 peluang pekerjaan bernilai tinggi. Pembinaannya akan bermula pada Jun dengan fabrikasi itu dijangka siap untuk peralatan berkenaan pada 2024, mengikut laporan BERNAMA.

Kemudalan fabrikasi wafer Infineon di Kulim High Tech Park kini menjawat sekitar 1,500 pekerja dan akan bertambah selepas kemudahan barunya akan siap beberapa tahun lagi.

Hershey


Hershey Co. Kapsyen: Kilang tertua Hershey berusia lebih 125 tahun di Pennsylvania. Dikenali sebagai kilang asli Hershey, ia sudah ditamatkan operasi pada 2012.


Jenama coklat terkenal yang selalu diburu di Langkawi, Hershey baru saja mengumumkan pembukaan pusat kajian dan pembangunan (R&D) mereka di Johor semalam, 20 Mei.

Pembukaan pusat ini merupakan salah satu pelaburan mereka di Malaysia dalam usaha memacu pertumbuhan global melalui inovasi.

Kemudahan dengan luas 10,400 kaki persegi ini akan merumahkan makmal R&D, kemudahan pembangunan pembungkusan, dan lain-lain untuk mereka menjalankan ujian rasa serta memilih produk digemari oleh pengguna di seluruh dunia.

Kata Timbalan Presiden Hershey India, Asia Pasifik, Eropah, Timur Tengah dan Afrika (AEMEA) Herjit Bhalla, kemudahan ini akan menjadi hab untuk operasi Hershey bagi rantau AEMEA.

SK Nexilis


Kapsyen: Kilang SK Nexilis di Jeongeup, Korea Selatan.


SK Hynix ialah syarikat pembuat semikonduktor dari Korea Selatan yang kini memegang status antara terbesar di dunia selepas Samsung.

SK Nexilis dan SK Hynix merupakan syarikat di bawah SK Group dan kilang pembuatan kerajang tembaganya dijangka siap akhir 2023.

Daripada 400 peluang pekerjaan yang akan diwujudkan. 80% pekerjanya akan diisi oleh anak-anak tempatan, lapor Utusan.

Kilang itu dibina di kawasan seluas 100 ekar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dengan pelaburan berjumlah RM4.2 bilion.

Projek pembangunan kilang tersebut ditandatangani menerusi Mememorandum Persefahaman (MoU) bersama KKIP Sdn Bhd pada 23 Mac tahun lalu dan pembinaannya bermula pada 28 Julai 2021.

Komponen atau bahan dihasilkan kelak dari kilang SK Nexilis di Kota Kinabalu ini akan digunakan bagi pembuatan bateri kereta elektrik.

Baca juga: