SSD Mudah Alih Baharu Keluaran Western Digital Lebih Pantas dan Tahan Lasak

Peneraju industri teknologi penyimpanan data, Western Digital telah melancarkan dua produk SSD baharu iaitu My Passport Wireless SSD dan SanDisk Extreme Portable SSD hari ini. Keluaran baharu ini direka khas buat mereka yang mengidamkan peranti storan yang tahan lasak dan penyimpanan media berkualiti tinggi.



My Passport Wireless SSD adalah pemacu mudah alih dengan butang ‘one touch copy’ yang membenarkan anda untuk membuat salinan menggunakan kad SD atau port USB yang tersedia. Dengan peranti ini, anda boleh membuat salinan gambar atau video dari kad SD tanpa komputer atau perisian tambahan.

Antara ciri-ciri yang ditawarkan oleh peranti ini adalah pembaca kad SD yang terbina di dalam dengan kelajuan membaca 65MB/s dan kelajuan pemindahan fail sehingga 390 MB/s apabila menggunakan port USB 3.0. Selain itu, peranti ini menyokong fail RAW. Peranti ini tahan lasak dan tahan hentakan hingga jatuhan setinggi satu meter. Jangka hayat peranti juga panjang di mana peranti ini mampu bertahan selama 10 jam. Penstriman  4K turut menjadi perhatian pada peranti ini namun ia tertakluk pada keupayaan peranti mudah alih, perkakasan dan perisian peranti.

Peranti My Passport Wireless SSD dibekalkan dengan waranti selama dua tahun dan akan mula berada di pasaran pada hujung bulan Julai. Peranti ini akan dijual di Lazada, 11street dan Shopee. Peranti ini akan dijual dengan harga RM 1099 untuk 250GB, RM 1499 untuk 500GB, RM 2299 untuk 1TB dan RM 3699 untuk 2TB.



SanDisk Extreme Portable SSD merupakan peranti saiz poket dengan ciri tahan lasak bersama sokongan kalis air dan debu. Walaupun peranti ini kecil dan kompak, namun ia mampu membuat pindahan berkelajuan tinggi sehingga 550 MB/s. Peranti ini juga boleh digunakan untuk platform PC.

Peranti ini dibekalkan dengan waranti selama tiga tahun dan kini berada dalam pasaran disemua cawangan IT diseluruh negara dan secara atas talian di Lazada, 11street dan Shopee. Peranti ini boleh dimiliki dengan harga RM 529 untuk 250GB, RM 829 untuk 500GB, RM 1699 untuk 1TB dan RM 3299 untuk 2TB.