Xiaomi Pocophone F1 merupakan satu-satunya peranti keluaran Xiaomi yang menggunakan cip pemprosesan perdana dari Qualcomm, Snapdragon 845 yang masih belum dilancarkan.
Seperti yang kami nyatakan dalam kiriman sebelum ini, Xiaomi menjanjikan lima peranti yang menggunakan Snapdragon 845 iaitu Xiaomi Mi Mix 2S, Xiaomi Mi 8, Xiaomi Mi 8 Explorer Edition, Xiaomi Black Shark, dan Xiaomi Pocophone F1.
Digembar-gemburkan sebagai peranti dengan Snapdragon 845 termurah, reka bentuk Pocophone F1 telah pun didedahkan di atas talian dan tular baru-baru ini.
Sumber : Slashleaks
Selain daripada reka bentuk, beberapa spesifikasi peranti ini juga dikatakan sudah tertiris melalui imej yang didedahkan. Ia menunjukkan bahawa peranti ini akan hadir dengan dwi-kamera hadapan 20MP dengan sokongan kecerdasan buatan(AI), sistem penyejukan cecair dan bateri berkapasiti 4,000 mAh.
Namun, apa yang menarik pada peranti ini ialah penggunaan cip Snapdragon 845 AIE-nya. Berbeza dengan cip Snapdragon 845 biasa, cip yang digunakan pada peranti ini lebih menfokuskan kepada fungsi AI.
Xiaomi Pocophone F1 dilaporkan akan dilancarkan pada 16 September ini namun sumber yang menyatakan demikian tidak terlalu kukuh. Mungkin kita akan dapat mendengar dengan lebih lanjut berkenaan peranti ini dalam masa terdekat.