Sony PlayStation Pertama Dilancar Hari Ini, 28 Tahun Lalu

Pada 3 Disember 1994 iaitu 28 tahun lalu, Sony PlayStation buat pertama kalinya telah membuat kemunculan di Jepun.

Mengimbas sejarah mengenainya, ia bermula dengan "bapa PlayStation", Ken Kutaragi yang mempunyai pandangan jauh serta dorongan peribadi untuk mengubah masa depan permainan video.

{suggest}

Kerjasama gagal, pemangkin bangunkan konsol sendiri


Boleh dikatakan, antara pemangkin untuk membangunkan konsol PlayStation sebenarnya berpunca daripada kerjasama yang gagal dengan Nintendo.

Pada acara CES 1991, Sony dengan bangga telah mengumumkan kerjasama dengan Nintendo untuk menghasilkan konsol tambahan berasaskan CD bagi Super Nintendo Entertainment System (SNES).

Kapsyen: SNES-CD


Bagaimanapun, di acara yang sama, Nintendo telah mengejutkan Sony apabila sebaliknya ia mengumumkan kerjasama dengan Philips bagi projek berkenaan. Selepas rundingan lanjut antara Sony dan Nintendo, perjanjian "PlayStation" akhirnya dibatalkan.

Berang dengan tindakan Nintendo, Ken Kutaragi dan Presiden Sony ketika itu, Norio Ohga memutuskan mereka perlu meneruskan pembangunan konsol permainan video sendiri.

Hasilnya, Sony PlayStation berjaya dibangunkan dengan dilengkapi dua teknologi terbesar untuk permainan video pada tahun 1990-an, iaitu storan CD dan grafik 3D yang canggih.

Pelancaran PlayStation


Pada 3 Disember 1994, akhirnya PlayStation pertama telah dilancarkan di Jepun dengan harga ¥39,800 (~RM1300).

Ia dianggap sebagai sebahagian daripada konsol permainan generasi kelima dan bersaing dengan Sega Saturn serta Nintendo 64 pada pertengahan tahun 90-an.



Ia kemudiannya dipasarkan di Amerika Syarikat, Australia dan Eropah pada tahun 1995. Menurut Sony, PlayStation berjaya terjual sebanyak 100,000 unit di Jepun pada hari pertama dan seterusnya menjadi konsol permainan video pertama yang melepasi 100 juta unit terjual di seluruh dunia.

Konsol permainan PlayStation terus dijual di pasaran global sehingga Sony menghentikan pengeluaran PlayStation dan permainannya pada 23 Mac 2006, iaitu selepas lebih 11 tahun sejak ia dilancarkan.

Gambar utama: Reddit

Sumber: PlayStation, Britannica, Venture Beat, PlayStation Museum, Gamespot