Dalam Computex 2026 baru-baru ini, AMD telah memperkukuh komitmen jangka panjang mereka terhadap ekosistem perkakasan komputer desktop menerusi beberapa siri pengumuman penting bagi platform soket pemproses sedia ada serta perkakasan grafik generasi baharu.
Langkah ini merangkumi sambutan sedekad pengenalan platform Soket AM4, pelanjutan garis masa sokongan untuk Soket AM5, serta pengenalan kad grafik berasaskan seni bina RDNA 4 untuk pasaran global.
Bagi meraikan ulang tahun ke-10 pengenalan Soket AM4 yang memulakan debutnya pada tahun 2016, AMD mengumumkan pemproses AMD Ryzen 7 5800X3D 10th Anniversary Edition.
Cip edisi khas ini didatangkan dalam pakej berkas bersama bahan antara muka haba generasi baharu, Carbice Ice Pad, yang direka untuk memudahkan pemasangan serta menawarkan prestasi penyejukan tahan lama.
Model ikonik yang menggunakan teknologi AMD 3D V-Cache ini dijadualkan bakal memasuki pasaran secara rasmi pada 25 Jun dengan tanda harga cadangan pasaran sekitar US$349 (kira-kira RM1,391).
Sementara itu, untuk pengguna platform Soket AM5, AMD memperkenalkan pemproses baharu AMD Ryzen 7 7700X3D bagi memberikan akses prestasi 3D V-Cache pada harga yang lebih mampu milik.
Cip ini memuatkan konfigurasi lapan teras, jumlah keseluruhan memori cache sebanyak 104MB, serta kelajuan mod pecutan mencecah sehingga 4.5GHz.
Model ini akan mula dijual pada 16 Julai pada harga US $329 (kira-kira RM1,311).
Selari dengan pengenalan cip baharu ini, AMD turut mengesahkan pelanjutan rasmi sokongan jangka hayat untuk Soket AM5 sehingga tahun 2029 bagi menjamin fleksibiliti naik taraf perkakasan tanpa memerlukan penukaran papan induk baharu untuk tempoh jangka panjang.

Dari aspek prestasi grafik, AMD melancarkan kad grafik AMD Radeon RX 9070 GRE secara global yang dibina berasaskan seni bina terbaharu AMD RDNA 4.
Kad grafik ini dilengkapi dengan 48 unit pengkomputeran, memori video 12GB, serta kelajuan mencapai 2.79GHz bagi menawarkan purata prestasi permainan video 21% lebih pantas pada resolusi 1440p berbanding pesaingnya.
Kad grafik ini ditawarkan bermula 2 Jun melalui rakan pengeluar rasmi pada harga bermula US$549 (kira-kira RM2,188).
Selain itu, AMD turut memperkenalkan teknologi memori AMD EXPO dengan Ultra Low Latency (ULL) yang dijadualkan hadir pada Jun 2026, di mana ia menawarkan peningkatan purata kadar bingkai sesaat (FPS) sebanyak 4% berbanding memori standard.
{suggest}
