Skrin LCD Dengan Ciri Imbasan Cap Jari Seluruh Skrin Dilaporkan Sudah Berjaya Dihasilkan

Sebahagian besar telefon pintar yang dipasarkan ketika ini hadir dengan ciri imbasan cap jari dibawah paparan. Jika dahulu hanya kelihatan pada peranti flagship, kini ia sudah boleh didapati pada peranti pertengahan. Walaupun begitu, ciri tersebut hanya terhad digunakan pada skrin berjenis OLED.

Ketika ini, ciri imbasan hanya terletak pada bahagian tertentu paparan namun syarikat dari China, Tianma, mengumumkan bahawa mereka berjaya membangunkan imbasan cap jari pada keseluruhan skrin LCD. Ini bermakna, pengguna boleh melakukan imbasan pada mana-mana bahagian skrin.



Dipanggil sebagai TED FingerPrint (TFP), ia mempunyai tiga kelebihan seperti integrasi tinggi. Contohnya seperti sentuhan pada aplikasi yang dilindungi dengan sekuriti cap jari, ia akan memproses sentuhan tersebut dan sekiranya berpadanan aplikasi akan terbuka.



Keduanya, imbasan cap jari mampu dibuat pada keseluruhan skrin dan tidak tertumpu pada satu bahagian. Terakhir sekali adalah nisbah skrin-ke-badan yang tinggi dimana fungsi pengecaman cap jari dimasukkan ke dalam layar paparan.

Menurut MyDrivers, istilah cap jari "pada layar paparan" dan "dibawah layar paparan" sering bercampur namun kedua-duanya berbeza. Imbasan cap jari dibawah paparan merujuk kepada proses nyahkunci dibuat menerusi bawah paparan yang terletaknya komponen seperti kapasitif dan lain-lain. Tetapi akibat isu teknikal dan kos, semuanya perlu berada pada kawasan tertentu.

Skrin paparan yang dihasilkan oleh Tianma pula berlainan dimana pengecaman cap jari optikal dibuat melalui pengumpul imej cap jari yang diintegrasi terus pada paparan. Ia seterusnya memberikan keupayaan imbasan pada seluruh skrin dan lebih baik berbanding dari cap jari bawah paparan.



Ia tidak hanya disasarkan untuk penggunaan telefon pintar kerana skrin tersebut boleh digunakan pada sektor lain seperti kilang pintar, bandar pintar, perkakasan rumah pintar dan sebagainya.

Difahamkan teknologi LCD dari Tianma ini sudah bersedia untuk dihasilkan secara besar-besaran dan sampel paparan telahpun dihantar kepada beberapa jenama terkenal.

Sumber: MyDrivers