SKMM: Johor Bahru Rekod Aduan Tertinggi Berkenaan Kualiti Rangkaian 4G

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dalam taklimat berkenaan laporan JENDELA bagi suku keempat 2021 minggu lalu berkongsi banyak perkara berkaitan statistik dan aduan tentang rangkaian di Malaysia.

Menyentuh tentang penutupan rangkaian 3G, beliau berkata ia dilaksanakan memandangkan trend pengguna masa kini yang lebih ke arah penggunaan data berbanding panggilan suara. Walaupun mengakui terdapat cabaran dalam usaha terbabit, namun ia bukan masalah besar.

Dari Januari hingga Disember 2021, SKMM telah menerima sebanyak 200,675 aduan tentang rangkaian dimana kualiti rangkaian 4G kekal menjadi isu utama. Ini selari dengan apa yang dilaporkan daripada Opensignal beberapa minggu lalu.

Daripada laporan yang diterima, Johor Bahru merekodkan aduan tertinggi, diikuti Petaling, Seremban dan Kuala Lumpur serta Klang.

Dr Fadhlullah berkata sebanyak 2,661 menara telah dinaik taraf manakala 86 menara baharu juga dibangunkan di lima daerah yang mendapat aduan paling tinggi.

Pun begitu, masih terdapat banyak aduan yang dilaporkan terutamanya dari pedalaman Sabah, Sarawak dan kawasan luar bandar di mana terdapat kawasan yang langsung tidak mendapat liputan.

Oleh itu, SKMM akan melaksanakan audit kualiti 4G di setiap negeri dan laporannya akan disiarkan pada umum selain turut dikongsi kepada syarikat penyedia perkhidmatan untuk mereka menambah baik liputan di kawasan berkaitan.

Bercakap tentang 5G, beliau memaklumkan bahawa rangkaian ini akan diperluaskan ke bandar utama di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Johor, Selangor, Sabah dan Sarawak dalam tahun ini.

Sumber: BERNAMA

Baca juga: