Opensignal dan Speedtest antara platform yang terkenal dalam kalangan pengguna untuk menguji kualiti rangkaian. Namun, bukan menyediakan aplikasi untuk itu sahaja, mereka turut mengumpul data dan memasukkannya dalam laporan yang tersedia untuk umum.
Laporan 16 muka surat oleh Opensignal yang diterbit 2 hari lepas telah berkongsi analisis rangkaian 5G dari seluruh dunia.
Opensignal berkata di negara yang mana 5G baru saja tiba seperti Malaysia, New Zealand, Czech Republic, atau negara yang sedang mengalami masalah bekalan untuk spektrum baharu seperti Singapura, mereka mengalami kejatuhan kedudukan.
Manakala negara yang telah melaksanakan spektrum 5G baharu, kedudukan 5G mereka telah meningkat contohnya Finland, Arab Saudi, UK, Switzerland.
Dalam laporan ini, Opensignal membandingkan kelajuan internet sebelum 5G iaitu pada suku pertama 2019 dan selepas 5G dilaksanakan iaitu suku keempat 2021.
Singapura kini di tangga ke-9, jatuh 4 anak tangga berbanding 2019. Negara kecil ini mencatatkan kelajuan 39.3 Mbps sebelum 5G dilaksanakan kini meningkat ke 49.9Mbps dengan 5G.
Di tangga ke-70, Malaysia yang mempunyai kelajuan 11.5 Mbps sebelum 5G pula kini meningkat ke 13.5 Mbps. Dengan 5G, Malaysia berjaya mencatat perbezaan sebanyak 2.0Mbps sepanjang 2 tahun. Malaysia juga mengalami penurun sebanyak 9 anak tangga dari tempat ke-61 pada 2019.
Negara jiran pula, Indonesia di tangga ke-68 mencatatkan perubahan besar di mana 6.9 Mbps sebelum 5G, meningkat ke 16.6 Mbps.
Thailand yang baru sahaja menukar nama Bangkok ke Krung Thep Maha Nakhon pula dari 5.7 Mbps ke 17.4 Mbps, berkongsi tempat ke-60 dengan Rusia.
Data ini menunjukkan sebelum pelaksanaan 5G, rangkaian di Malaysia lebih pantas berbanding Thailand dan Indonesia tetapi dengan 5G, mereka kini mempunyai rangkaian yang lebih berkelajuan tinggi berbanding Malaysia.
Waktu ini, hanya YES yang menyediakan perkhidmatan 5G di Malaysia dan TM pula telah menunda ke tarikh yang tidak ditetapkan. Maxis baru-baru ini mengatakan mereka sudah bersedia dan menunggu tindakan lanjut pihak berkuasa tetapi syarikat lain masih sepi tanpa berita.
Sementara negara- negara jiran terus mengalami pendigitalan dengan pesat, apakah dengan hanya 3 lokasi 5G pada Februari 2022 akan membantu Malaysia turut sama membangun?
Sumber: Opensignal
Baca juga: