Bulan ini dilihat cukup sibuk untuk pasaran telefon di China. Selepas siri vivo X200 dan siri Xiaomi 15, kini giliran HONOR pula membariskan peranti andalan mereka menerusi HONOR Magic7 dan Magic7 Pro.
Kedua-dua peranti menampilkan cip Snapdragon 8 Elite yang dipadankan bersama memori sehingga 16GB RAM LPDDR5X dan juga storan dalaman sehingga 1TB.
HONOR Magic7
Kita mulakan dengan model asas, Magic7 hadir dengan skrin rata LTPO OLED 6.78 inci 120Hz yang menawarkan 1.07 bilion warna, gamut warna DCI-P3 dan beresolusi FHD+. Selain itu, puncak kecerahan HDR adalah 5000nits, 4320Hz PWM dimming serta beberapa pengiktirafan seperti TÜV Rheinland polarization, Dolby VISIONR dan HDR vivid.
Dari sudut fotografi, ia dilengkapi tiga kamera belakang dengan 50MP yang terdiri lebar (1/1.3 inci), ultra lebar dan telefoto 3x zum optikal, 50x zum digital. Sementara, kamera swafoto 50MP.
Kamera belakangya juga mampu membuat rakaman 4K 30/60FPS dan menyokong 10bit Magic-Log sehingga 4K 60FPS.
HONOR turut meneruskan penggunaan teknologi bateri silikon karbon. Kali ini, sudah generasi ketiga. Ia berkapasiti 5650mAh dan menyokong pengecasan pantas 100W berwayar, 80W tanpa wayar serta sokongan pengecasan berbalik.
Lain-lain adalah pembesar suara stereo, 5G, Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4 dan menjalankan MagicOS 9.0 berasaskan Android 15.
HONOR Magic7 Pro
Beralih kepada model tertinggi, Magic7 Pro mempunyai paparan quad-curved 6.82 inci LTPO OLED 120Hz dan kecerahan puncak HDR 5000 nits. Ciri lain skrin adalah masih sama.
Kelebihan pada model ini sudah semestinya kamera. Telefon ini ditawarkan kamera lebar 50MP (1/1.3 inci), 50MP ultra lebar dan 200MP telefoto (1/1.4 inci) dengan 3x zum optikal dan sehingga 100x zum digital. Ia juga mempunyai sensor suhu warna, sensor kelipan dan sensor laser fokus. Sementara kamera swafoto adalah 50MP dengan 3D deep sensing.
Baterinya besar sedikit, iaitu 5850mAh dengan pengecasan pantas 100W berwayar, 80W wayarles dan menyokong pengecasan berbalik.
Lain-lain adalah seperti penarafan IP68 dan IP69.
MagicOS 9.0 kini dengan AI
Seperti yang dilancarkan tempoh hari, MagicOS 9.0 memfokuskan ciri kecerdasan buatan. Ia juga hadir dengan pembantu maya YOYO Agent yang lebih pintar.
Menerusinya, pengguna juga boleh memberikan arahan kepadanya untuk melakukan beberapa tugasan dengan mudah.
Antara ciri menarik lain adalah AI Deep Fake di mana ia mampu mengenal pasti sama ada panggilan video atau audio itu adalah palsu dan juga spam.
Anda boleh mengetahuinya lebih lanjut di SINI. Namun, tidak pasti sama ada ciri AI itu ditawarkan untuk pasaran global atau terhad China sahaja.
Harga
HONOR Magic7 sudah dibuka prapesan untuk pasaran China dengan harga bermula RMB4,500 (~RM2,763). Sementara Magic7 Pro pula bermula RMB5,700 (~RM3,500).
Seperti biasa, kita perlu menunggu peranti ini hadir ke pasaran Malaysia pada awal tahun 2025.
{suggest}