Signify Memperkenalkan LiFi - Teknologi Jalur Lebar Masa Depan

Pada bulan Mac yang lalu, kami ada melaporkan mengenai teknologi LiFi yang dibangunkan dan telah diuji oleh Philips. Hari ini, Philips Malaysia telah pun memperkenalkan Teknologi LiFi dari Signify yang akan membawa jaringan jalur lebar ke satu tahap yang baru.

Baca juga: Philips Mula Uji Teknologi Li-Fi

Pernahkah anda membayangkan cahaya lampu di bahu-bahu jalan dapat memancarkan sambungan internet kepada peranti anda? Pasti lebih mudah bukan? Ya, dengan teknologi LiFi dari Signify ini, perkara itu mungkin akan menjadi satu kenyataan di masa akan datang.



Bagi menggunakan LiFi, anda perlu menghubungkan kekunci akses/dongle USB pada peranti yang anda mahu gunakan. Dongle berkenaan diperlukan untuk menerima sinaran cahaya yang dipancarkan oleh luminaires bagi membolehkan sambungan internet digunakan selain menghantar kembali data melalui pemancar infra-merah.

Kapsyen: Luminaire diperlukan untuk memancarkan isyarat Internet kepada peranti anda


Buat masa ini, kadar sokongan bagi sambungan LiFi adalah pada jarak maksimum sekitar 3.5 meter dari sumber cahaya luminaire serta dalam radius cahaya seluas 2 meter sahaja. Menurut pihak Signify, LiFi menawarkan kepantasan sehingga 30MB/s serta mampu menampung 15 pengguna dalam satu-satu masa. Mereka juga bercadang untuk meningkatkan kelajuan ini pada masa akan datang.

Kapsyen: Kekunci akses ini berfungsi sebagai penerima isyarat cahaya dari luminaires seterusnya membolehkan peranti yang dihubungkan dengannya menerima sambungan internet


Antara kelebihan yang ada pada teknologi ini ialah ia bukan sahaja boleh digunakan melalui apa sahaja sumber cahaya, malah ia juga mempunyai fungsi keselamatan yang lebih baik. Selain itu, ia juga dikatakan lebih stabil berbanding WiFi sedia ada. Sambungan internet anda juga tidak akan dapat digodam dan digunakan oleh orang lain tanpa kebenaran anda.

Kapsyen: Sambungkan dongle pada peranti, letakkan di bawah sinaran luminaire dan anda kini miliki sambungan Internet


Penggunaan LiFi mungkin terhad kepada peranti yang dihubungkan dengan dongle USB dan pancaran cahaya luminaire Philips sahaja ketika ini. Namun, tidak mustahil suatu hari nanti LiFi dapatkan dengan melalui apa jua sumber cahaya termasuklah lampu-lampu jalan.

Philips menjangkakan teknologi LiFi akan mula ditawarkan secara lebih meluas pada tahun 2019 nanti. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai teknologi ini, anda boleh ikuti laman sesawang rasmi LiFi di https://www.signify.com/global/innovation/lifi.

Mampukah LiFi menggantikan WiFi dalam tahun-tahun mendatang? Ia satu perkara menarik untuk disaksikan.

https://youtu.be/e0XxTiThgVo