Shopee Tawar Khidmat Pinjaman Wang, SLoan - Ketahui Perkara Ini Terlebih Dahulu

Shopee kini mempunyai sebuah perkhidmatan kewangan baharu --SLoan. Seperti namanya juga, Shopee menawarkan pinjaman wang sehingga RM100,000.

Ini sama seperti TNG eWallet melalui ciri GoPinjam yang mana terima permohonan secara online dan lulus masa begitu singkat berbanding bank atau institusi lain.

Buat masa ini, hanya pelanggan terpilih saja boleh menggunakannya. Ia berdasarkan transaksi dan penggunaan anda di Shopee.



Untuk tahu sama ada anda menerima perkhidmatan ini atau tidak, pergi ke profil Shopee anda dan tatal, semak jika anda 'SLoan'.



Antara caj dikenakan termasuklah kos setem (stamping cost), yuran pengesahan (attestation fee), kadar faedah dan denda bayaran lewat.

Kadar faedah bulanan ialah 1.5% sebulan manakala denda lewat pula 8% setahun, dicaj setiap hari.



Anda perlu melakukan pelbagai langkah untuk mengesahkan identiti seperti muat naik gambar MyKad, pemeriksaan secara masa nyata melalui video iaitu Liveness Check (semasa menerima wang pinjaman).



Diluluskan dalam masa 24 jam, wang pinjaman akan dikreditkan ke akaun ShopeePay serta-merta namun kalau anda pilih akaun bank, ia akan mengambil masa 1 hari.

Pengeluaran wang pinjaman ini ialah minimum RM1,000 untuk kali pertama manakala pengeluaran seterusnya pula dalam gandaan RM100.

Anda boleh bayar jumlah pengeluaran dalam 3, 6 ataupun 12 bulan berdasarkan jumlah tersebut.


Contoh pinjaman


Jumlah pinjaman: RM20,000

Kos setem (stamping fee): RM100 (RM20,000 x 0.5%)

Yuran pengesahan (attestation fee): RM5

Jumlah pinjaman anda terima: RM19,895 (RM20,000 - RM100 - RM5)


Bayaran semula


Untuk membayar pinjaman, anda boleh gunakan duit dalam ShopeePay dan juga melalui akaun bank.

Ia juga dilakukan melalui aplikasi Shopee sepertimana anda meminta pinjaman.



Tarikh akhir pembayaran balik pinjaman anda ialah 30 hari selepas anda memasukkan pengesahan PIN atau OTP untuk menandatangani Perjanjian Pinjaman.



Jika anda sedang menunggu untuk menerima wang pinjaman anda, sila ambil perhatian bahawa tarikh pembayaran balik masih akan bermula dari tarikh anda memasukkan PIN atau pengesahan OTP untuk menandatangani Perjanjian Pinjaman, dan bukan tarikh anda menerima wang pinjaman anda.

Denda lewat


Jumlah bayaran yang perlu dilunaskan: RM3,000

Lewat: 10 hari

Jumlah denda bayaran lewat: RM6.58 (RM3,000 x 8% x (10 hari/365))

Jumlah anda perlu bayar: RM3,006.58 (RM3,000 + RM6.58)



Anda akan disekat daripada melakukan pengeluaran duit apabila ada sebarang tunggakan, sehinggalah anda langsaikan ansuran sepenuhnya.

Hati-hati


Nasihat kami, teliti dahulu jika anda berniat menggunakan perkhidmatan pinjaman SLoan ini.

Terma dan syarat ada di laman bantuan Shopee.

Sumber: Shopee

{suggest}