Perbandingan Kad Prabayar Di Malaysia - BigPay, Wise, MAE, TNG Visa

Dengan pelancaran kad TNG Visa sebentar tadi, bermakna bertambahlah kad prabayar yang tersedia di Malaysia.

Untuk makluman, BigPay ialah di bawah AirAsia Group, MAE dikeluarkan Maybank manakala TNG Visa dikeluarkan TNG Digital.

Kad Visa MAE bukanlah kad prabayar, sebaliknya ialah debit. Kami masukkan juga dalam senarai ini kerana ia mempunyai ramai pengguna dan fungsinya tidak jauh beza dengan kad prabayar lain.

Dalam keempat-empat kad ini, 3 daripada daripada penyedia tempatan, hanya Wise saja berasal daripada luar negara.

Namun jangan risau kerana kesemuanya diluluskan Bank Negara Malaysia untuk beroperasi di sini.

Tak cukup kalau hanya bersembang tentang kad saja kerana ia terpaut dengan aplikasi.

Dalam artikel ini, kami senaraikan apa perbezaan antara kad-kad ini berserta aplikasinya.

{snap}

Bayaran permohonan kad (sekali bayar)




BigPay - Tiada

Wise - RM13.70

MAE - RM8

TNG Visa - RM5 (dikecualikan sehingga diberitahu) + RM5 untuk penghantaran

{snap}

Yuran tahunan




BigPay - Tiada

Wise - Tiada

MAE - RM8

TNG Visa - RM8 (dikecualikan sehingga diberitahu)

{snap}

Aplikasi




BigPay - Bukan hanya pembayaran melalui kad fizikal, malah anda juga boleh mengimbas kod QR DuitNow daripada aplikasinya untuk melakukan pembayaran dan pemindahan wang pada rakan-rakan.

Wise - Ciri ditawarkan lebih pada kepelbagaian/pertukaran mata wang. Anda dapat simpan duit dalam mata wang berlainan seperti dalam Euro, Pound. Menariknya, anda boleh cipta kad maya dan hapuskannya bila-bila. Ini bagus untuk keselamatan.

MAE - Pengganti M2U ini kaya dengan ciri perbankan seperti pemaparan pinjaman, aset ASB, emas MIGA, pengeluaran wang di ATM melalui kod QR dan banyak lagi. Ia juga sokong DuitNow. Boleh kata all-in-one dan tak perlukan app lain.

TNG eWallet- Aplikasi ini sarat dengan promosi pelbagai kedai di Malaysia selain turut sokong kod QR TNG dan DuitNow. Pembayaran parkir, pelaburan dan pinjaman juga tersedia.

Kesemuanya menyediakan ciri pembekuan kad untuk nyahaktifkan kad anda daripada berlaku sebarang transaksi.

Semua kecuali TNG eWallet mempunyai ciri analitik tersedia membolehkan anda mengetahui perbelanjaan harian, bulanan anda termasuklah kategori seperti runcit, makanan, pengangkutan.

Di sini, MAE dan TNG eWallet boleh dikatakan menang dari segi ciri tersedia. MAE tawar ciri-ciri perbankan dan tambahan yang berguna, TNG pula banyak promosi bersama fungsi keperluan lain.

{snap}

Antara muka aplikasi




BigPay -  Dengan tema biru muda, aplikasi BigPay agak mudah digunakan dan boleh dikatakan mesra pengguna kerana tidak rumit digunakan.

Wise - Identiti pada aplikasi Wise jelas, seperti font dan tema rekaan yang konsisten. Keseluruhannya tidaklah rumit tapi memang banyak ciri tersedia. Dalam senarai ini, ia paling pantas dan satu-satunya sokong mod gelap. Saya suka 'vibe' dibawakannya.

MAE - Dengan tema kuning, MAE tidak terlalu sarat untuk memberitahu "Kami ada banyak ciri!". Ia juga mesra pengguna.

TNG eWallet- Ini antara paling banyak ciri antara semua tapi ia terlalu semak kerana TNG 'try hard' mempromosinya. Jelas, ia nampak 'berat' tapi tahap tindak balasnya masih baik'. TNG eWallet ialah seperti produk yang belum siap 100% walaupun asasnya kukuh.

Dalam banyak-banyak aplikasi, TNG eWallet paling terasa 'berat' kerana terlalu banyak ciri dan promosi mahu diiklankan mereka.

{snap}

Rekaan kad




Ini bukanlah ciri terpenting pun, tapi elemen tambahan yang kalau ada, bertambah menarik.

BigPay - Berwarna biru muda, kad Visa padanya hadir dengan rekaan minimalistik di hadapan. Di belakang pula, ia menggunakan warna biru gelap dan ada nombor kad dicetak dalam susunan sedikit unik.

Wise -Dengan warna hijau fluorescent, ada label 'Wise' yang besar di hadapan. Nama, nombor dan butiran kad dicetak pada belakang kad. Paling unik, ada sedikit lengkungan seperti kad dipotong di satu sisi.

MAE - Warna kuning menjadi warna tema kad ini di hadapan dan belakang. Nama dan nombor kad juga dicetak pada belakangnya. Sebagai keunikan, logo MAE di tengahnya hadir dengan elemen lutsinar.

TNG Visa - Rekaan seperti lukisan hasil seni buatan anak autisme, Damien Wong hasil kolaborasi dengan NGO United Voice. Tiada apa yang unik dari segi fizikal tapi lebih menarik ialah nombor kad langsung tidak dicetak pada kad.

{snap}

Kemudahan tambah nilai




BigPay - Anda boleh tambah nilai akaun BigPay melalui ATM, kad debit/kredit, FPX, tunai di 7-Eleven dan DuitNow QR. Melalui FPX, anda perlu

Wise - Disebabkan ia tidak menyokong DuitNow, maka tambah nilai hanya melalui FPX dan pemindahan wang secara manual. Tambah nilai daripada kad debit/kredit hanya dibolehkan untuk beberapa situasi.

MAE - Kad MAE boleh ditambah nilai terus daripada akaun simpanan Maybank melalui aplikasi sama. Daripada penyedia/bank lain juga boleh dilakukan seperti pemindahan wang daripada CIMB dan lain-lain. Juga sokong DuitNow.

TNG Visa - Baki eWallet boleh ditambah nilai melalui kad debit/kredit, akaun bank (FPX), DuitNow (Transfer dan QR), PIN. Ciri Quick Payment sangat memudahkan top-up tanpa proses FPX dan TAC.

Di sini, MAE dan TNG eWallet sekali lagi menjadi kegemaran kerana sangat mudah ditambah nilai. Kekurangan BigPay dan Wise ialah perlu pengesahan setiap kali tambah nilai kerana melalui proses FPX.

{snap}

Penggunaan di Malaysia


maybank

Untuk transaksi harian dan dalam negara seperti pembayaran di kedai, pemindahan wang kepada pengguna lain, sokongan DuitNow, ini boleh didapati pada MAE, BigPay dan TNG eWallet.

Kalau pembayaran/pemindahan wang daripada MAE dan BigPay melalui DuitNow, TNG pula ada kelebihannya kerana banyak pekedai menyokong transaksi online melalui platform TNG eWallet sendiri tanpa perlu DuitNow.

Contohnya, Terminal Bersepadu Selatan hanya menerima e-dompet Boost dan TNG eWallet. Saya juga mendapati TNG eWallet paling banyak disokong serata Malaysia, mungkin kerana mereka terawal memperkenalkan e-dompet.

Walapun TNG pun ada sediakan kod QR sendiri selain sokong DuitNow, tapi sangat banyak pekedai mempunyai kod QR ini. Ini menjadi kelebihan TNG.

Wise tidak menyokong DuitNow, bahkan pemindahan wang juga hanya antara pengguna Wise saja. Namun, untuk pemindahan wang antarabangsa seperti Malaysia ke pengguna Indonesia, Wise antara terbaik kerana ia juga boleh menukar mata wang terus.

Di sesetengah kedai di sini, ia tidak menyokong payWave pada kad Wise, jadi anda perlu masukkan PIN.

Secara peribadi, MAE dan TNG eWallet juga memenangi kategori ini.

{snap}

Pengeluaran duit melalui ATM




BigPay - RM6 untuk ATM di Malaysia, RM10 untuk ATM di luar negara.

Wise - Percuma untuk jumlah RM1,000 dalam sebulan (maksimum 2 kali). Lebih RM1,000 atau masuk kali ketiga, RM5 dicaj sekali pengeluaran.

MAE - Percuma di ATM Maybank, caj RM1.06 di ATM MEPS.

TNG Visa - Caj RM1.40 untuk ATM tempatan, RM15 di ATM luar negara. Namun, terhad 5 transaksi sehari atau RM1,000 satu transaksi dengan maksimum keseluruhan RM5,000 sehari.

Cara keluarkan wang ATM Maybank tanpa kad

{snap}

Penggunaan luar negara dan tukaran wang asing




Tidak semua syarikat ini mendedahkan kadar tukaran dan caj mereka. Namun berdasarkan perkongsian pengguna, Wise ialah terbaik kerana kadarnya lebih bagus daripada money exchanger dan kad lain.

Ia juga satunya-satunya dalam senarai yang sokong kiriman wang dalam tukaran wang asing. Maksudnya, anda hantar dalam ringgit manakala penerima dapat dalam rupiah hanya melalui aplikasi.

Antara kelebihan lain juga ialah anda boleh terus menabung dalam bentuk mata wang lain seperti USD, Euro, AUD, Pound, rupiah dan lain-lain.

Saya tidak pernah menggunakan Wise di luar negara namun kebanyakan pengguna yang pernah menggunakan Wise dan Bigpay berkata kadar tukaran Wise paling rendah dan sangat disarankan.

Semasa artikel ini ditulis, saya cuba tukar €100 ke RM. Di Wise, saya perlu bayar RM467.27 (termasuk caj sebanyak RM2.69) manakala BigPay pula saya perlu bayar RM469.79 (belum termasuk caj).

{snap}

Sokongan Apple Pay, Samsung Pay dan Google Pay




Dalam keempat-empat ini, hanya MAE boleh dipautkan dengan Apple Pay dan Samsung Pay. MAE masih belum digunakan bersama Google Pay.

Wise kalau di Singapura boleh terpaut dengan Apple Pay namun untuk pengguna Malaysia, walaupun anda tukar 'Region' di tetapan iPhone, ia masih belum boleh dipaut.

Cara guna Apple Pay

{snap}

Mata ganjaran




BigPay - Disebabkan ia produk AirAsia, maka anda dapat kumpulkan airasia points.

MAE - Melalui semakan saya, tiada ganjaran untuk pembayaran melalui kad, namun ada cashback di sesetengah kedai jika anda bayar melalui imbasan kod QR di aplikasi MAE.

Wise - Tiada

TNG Visa/e-Wallet - Seperti MAE juga, beberapa tawaran hanya melalui aplikasi eWallet, bukan kad. Tiada mata boleh dikumpul melalui TNG eWallet tapi banyak promosi diadakan melalui baucar terjual di sana.

{snap}

Yang mana sesuai untuk anda?




BigPay antara yang seimbang untuk penggunaan domestik dan luar negara kerana tukaran wang asing masih okey, pada masa sama sokong DuitNow.

MAE kaya dengan ciri perbankan dan semestinya sangat sesuai digunakan di Malaysia kerana banyak ATM Maybank tersedia di sini namun kadar tukaran wangnya tidak sebaik BigPay apatah lagi Wise.

Kalau anda banyak mengirim wang negara atau berbelanja di luar Malaysia, Wise adalah pilihan terbaik. Tapi ia sangat tidak mesra untuk penggunaan tempatan.

Jika anda pengguna tegar TNG eWallet dan lebih selesa bayar menggunakan kad berbanding kod QR, maka kad TNG Visa sesuai untuk anda.

Andai kata anda neutral dan tidak tahu yang mana, saya rasakan MAE mungkin sesuai kerana ia sudah sedia terkait dengan akaun Maybank dan aplikasinya banyak dengan ciri yang sudah cukup untuk pengguna biasa.