Setelah 7 Tahun Diperkenalkan, Telegram Akhirnya Ada Panggilan Video

Tanggal 14 Ogos 2020 merupakan ulangtahun ke-7 Telegram setelah kali pertama dilancarkan pada 2013. Pengumuman ini mungkin dilihat sebagai ketinggalan berbanding seteru utama mereka, WhatsApp yang sedia menawarkan panggilan video sejak 2016 lagi.

Sudah mula ditawarkan pada Google Play Store, merupakan versi Alpha dan ia turut menyokong mod Picture-in-Picture untuk memudahkan pengguna melakukan aktiviti lain.



Menurut Telegram, kesemua panggilan video yang dibuat pada platform mereka dilindungi dengan penyulitan hujung-ke-hujung. Bagi memastikan komunikasi itu selamat, terdapat 4 emoji yang tertera pada bahagian atas paparan.

Sekiranya emoji tersebut sama seperti apa yang terpapar pada paparan rakan bual anda, Telegram menyatakan ia dijamin 100% selamat dengan penyulitan yang sama digunapakai pada Secret Chats dan Voice Calls.

Bagi panggilan video secara berkumpulan pula, ia dikatakan akan hadir pada bulan-bulan mendatang. Buat masa sekarang, ciri ini hanya diberikan pada Android sahaja dimana Telegram memberitahu Apple masih lagi belum memberikan penilaian untuk kemaskini tersebut.



Selain daripada panggilan video, kemaskini turut mengandungi sejumlah emoji animasi terbaharu.

Sumber: Telegram