Semua Pihak Dilarang Terbangkan Dron Sepanjang Tempoh PKP - PDRM

Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua pihak adalah dilarang untuk menerbangkan dron di mana-mana lokasi di seluruh negara.

Ketua Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Superintenden Rasha Azaldin Shafii berkata, tindakan menerbangkan dron tanpa permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) adalah salah mengikut Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 (MCAR 2016).

Menurutnya lagi, bagi sesiapa yang melakukan kesalahan pengendalian dron tanpa kebenaran boleh dikenakan denda minimum RM50,000 atau tiga tahun penjara bagi individu atau denda maksimum RM100,000 untuk badan korporat.

Ini bermakna, setiap dron yang ingin diterbangkan perlu mendapat permit daripada CAAM dan juga kebenaran pihak polis terlebih dahulu.

Sepanjang pelaksanaan PKP, terdapat empat kes pengendalian dron tanpa kebenaran telah dikesan oleh pihak PDRM. Berikutan itu, siasatan sedang dijalankan dan polis bersedia menggunakan alat 'drone jammer' bagi memastikan tiada pihak yang menerbangkan dron tanpa kelulusan di mana-mana lokasi.



Terdahulu, CAAM telah membenarkan PDRM menerusi Unit Dron PGU mengendalikan "unmanned aircraft system (UAS)" atau dron bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan semasa PKP. Operasi dron tersebut diketuai PDRM dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan tiga syarikat dron swasta.

Sumber: BERNAMA