Selamat Tinggal 'Notch'- HONOR View20 Bakal Menerjah Tanah Air Pada 26 Januari Ini

HONOR View 20 sebenarnya sudah pun dilancarkan secara rasmi di China Disember yang lepas. Model ini menjadi perbualan hangat kerana ia merupakan telefon pertama yang mengetengahkan paparan skrin tanpa takuk. Persoalannya, kat mana terletaknya kamera selfie?



HONOR mempamerkan rekaan kamera selfie 'indisplay' 25MP dalam usaha untuk mengubati penyakit 'trend' rekaan 'notch' yang berleluasa di kalangan telefon pintar tahun lepas. Ia turut digelarkan kamera titik atau kamera berlubang.

Kita juga bakal menyaksikan (rekaan kamera berlubang) bakal menjadi 'trend' baru untuk 2019 dengan beberapa lagi jenama lain juga akan mengikuti 'trend' rekaan ini seperti Huawei Nova 4 dan Samsung Galaxy S10.


Peranti ini dilengkapi dengan beberapa teknologi menarik seperti sistem cip terkini HiSilicon Kirin 980, kamera utama 48MP dengan teknologi 3D TOF serta sokongan memori sehingga 8GB RAM.

Ia juga bakal dikuasakan dengan bateri berkapasiti 4,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas, Huawei SuperCharge 22.5W. Malangnya, ia tidak didatangkan dengan ciri pegimbas cap jari 'indisplay' yang juga bakal menjadi 'trend' untuk tahun ini.

Menurut pihak Honor Malaysia, mereka akan mengadakan Road Show, pelancaran pertama HONOR View20, 26 Januari ini di 1Utama Petaling Jaya. Setakat ini mereka masih berteka teki tentang harga rasmi untuk pasaran tempatan.

Jika dilihat, ia dijual pada harga 3,499CNY (sekitar RM2,125) untuk variasi 6GB+128GB manakala 3,999CNY (sekitar RM2,428) untuk variasi 8GB+128GB.