Sekolah Di Jerman Dilarang Guna Microsoft Office 365

Pada minggu lalu, sekolah yang terletak di Hesse, Jerman telah dilarang dari menggunakan perkhidmatan awan Microsoft Office 365 berikutan kebimbangan terhadap isu privasi.

Walaupun menyatakan secara terang larangan penggunaan Office 365, perkhidmatan awan lain milik Google dan Apple juga dikatakan tidak memenuhi peraturan privasi yang ditetapkan untuk sekolah di negara terbabit.

Difahamkan, isu ini timbul selepas Microsoft menutup pusat data mereka di Jerman pada Ogos tahun lalu dan lanjutan daripada itu, ia dilihat berpotensi mewujudkan risiko data pengguna diakses oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Isu privasi itu berkait rapat dengan maklumat telemetri  oleh sistem operasi Windows 10 serta perkhidmatan awan syarikat yang dihantar semula ke Amerika Syarikat.

Maklumat tersebut berkemungkinan mengandungi pelbagai data diagnostik perisian hingga kepada kandungan aplikasi Office, seperti subjek e-mel atau ayat dari dokumen yang menggunakan ciri terjemahan dan pemeriksa ejaan syarikat tersebut.

Pengumpulan maklumat-maklumat tersebut disifatkan sebagai melanggar Peraturan Perlindungan Data Umum Eropah (GDPR) yang telah berkuatkuasa sejak Mei tahun lalu.

Buat masa sekarang, pesuruhjaya negeri di Hesse memberi cadangan kepada sekolah-sekolah supaya beralih kepada aplikasi serupa yang mendapat pelesanan tempatan.

Sumber: The Next Web