Seperti yang diketahui, EA telah pun memperlihatkan permainan sukan bola sepak popular yang baharu, iaitu FIFA 22 sejurus selepas perlawanan EURO 2020 tamat.
Apa yang menarik dalam FIFA 22 kali ini adalah ciri HyperMotion Technology. Melalui teknologi tersebut, EA berkata ia menggunakan motion capture untuk memberikan animasi permainan lebih realistik.
Dalam erti kata lain, AI dalam FIFA 22 ini jauh lebih bijak kerana ia mampu membuat sehingga 6x keputusan semasa menyerang dan pandai membaca permainan ketika dalam pertahanan. Bahasa mudah, umpama kita sedang menonton perlawanan bola sepak sebenar.
Menarik bukan? Namun, ciri ini hanya terdapat pada PlayStation 5, Xbox Series X/S dan Stadia. Bagi PC, ia akan menggunakan engine yang berasaskan konsol generasi lama seperti PS4 dan Xbox One.
Menurut EA, mereka menyatakan sekiranya permainan FIFA 22 pada PC berasaskan konsol generasi baharu, perkakas PC perlu tampil berkuasa bagi menjalankannya dan tidak semua pemilik PC mempunyai perkakas sedemikian.
Pun begitu, pengumuman dari EA ini adalah tidak adil dan menimbulkan rasa marah bagi pemain PC. Tambahan lagi, FIFA 22 yang dibeli di konsol generasi terdahulu juga tidak dapat naik taraf percuma ke konsol generasi baharu seperti mana pada FIFA 21 dahulu.
Apa-apa pun, FIFA 22 sudah boleh di pra-tempah mulai hari ini dan akan tersedia di PS5, Xbox Series X/S, Stadia, PS4, Xbox One dan PC.
Sumber: eurogamer