“Pertelingkahan” di antara Samsung dan Apple telah berlangsung sejak sekian lama sehingga kini walaupun pesaing utama Samsung hari ini ialah Huawei, bukannya Apple.
Kedua-dua syarikat tersebut saling menggunakan platform media elektronik untuk “menyerang” antara satu sama lain. Bagaimanapun, baru-baru ini Samsung dilihat telah tersalah langkah apabila tertangkap mempromosikan Galaxy Note 9 menggunakan peranti iPhone.
Ia terjadi apabila Samsung Mobile Nigeria mengirimkan satu kicauan di akaun Twitter mereka baru-baru ini bagi menonjolkan keupayaan skrin SuperAMOLED pada Galaxy Note 9 mereka.
Might as well add "Twitter police" to my bio at this point ?♂️ pic.twitter.com/DRlrXl7bak
— Marques Brownlee (@MKBHD) December 2, 2018
Namun, pengguna lain nampaknya lebih tertarik dengan frasa “via Twitter for iPhone” di bucu bawah sebelah kanan video yang dikirimkan. Perkara ini menjadi tular selepas Youtuber terkemuka, Marques Brownlee membuat kiriman mengenainya di akaun miliknya, @MKBHD.
Menurut tinjauan kami, kiriman tersebut telah pun dibawa keluar oleh Samsung Mobile Nigeria. Akan tetapi, nasib pekerja yang membuat kiriman itu tidak dapat dipastikan setakat ini.
Samsung sangat tegas mengenai perkara sebegini. Sebelum ini, Samsung telah memecat dua orang dutanya, Kate Upton dan Ksenia Sobchak kerana tertangkap menggunakan iPhone peribadi di khalayak umum.
Sumber: Marques Brownlee BGR