Samsung Pertahankan Prestasi Exynos 990 Adalah Setanding Dengan Snapdragon 865

Jika dahulu, sebagai salah sebuah negara pasaran yang menerima cip varian Exynos berbanding Snapdragon, Malaysia bernasib baik kerana kebiasaannyya cip Exynos adalah lebih berkuasa berbanding Snapdragon.

Namun kini, sudah tiba masanya pengguna peranti Samsung dengan cip flagship Exynos merasa cemburu dengan negara yang mendapat cip varian Snapdragon disebabkan perbezaan prestasi yang agak ketara.

Untuk siri Galaxy S20, hanya pasaran AS, China, dan Korea Selatan sahaja yang mendapat cip Snapdragon 865 yang terbaru, manakala versi cip Exynos 990 pula dijual di pasaran negara selainnya. Walau sudah banyak video yang dimuat naik di internet memperlihatkan perbezaan prestasi Snapdragon 865 yang jauh lebih berkuasa seperti Mrwhosetheboss, SpeedTest G, dan The Tech Chap, Samsung pula sebaliknya tidak bersetuju dengan dapatan video berkenaan.

Mengikut kenyataan Samsung, kedua-dua varian peranti dengan cip ini menerima ujian prestasi yang sama dan juga kedua-duanya mempunyai prestasi yang konsisten antara keduanya. Sudah tentu ini menimbulkan kekeliruan kepada pengguna kerana dapatan yang dijumpai jauh berbeza dengan apa yang Samsung dakwa.

Pihak Anandtech juga baru-baru ini sudah menguji kedua-dua peranti Galaxy S20 dengan cip Exynos 990 dan Snapdragon 865 untuk mencari perbezaannya. Menurut mereka, Exynos 990 langsung tidak sebagus Snapdragon 865. Prestasi GPU cip Exynos 990 kerap terbantut kerana throttling, yang mencacatkan pengalaman ketika bermain permainan dari segi fps. Tambahan lagi cip tersebut juga kurang efisien dari segi penggunaan tenaga menjadikan baterinya tidak bertahan lama berbanding dengan cip Snapdragon 865.

Sumber: Sammobile

 

 

Berkaitan