Samsung Lancarkan Tablet Tahan Lasak Galaxy Tab Active3 Dengan S Pen Kalis Air

Galaxy Tab Active merupakan barisan produk tablet tahan lasak daripada Samsung.

Hari ini, mereka memperkenalkan Galaxy Tab Active3 dengan spesifikasi lebih diperkemaskini.

Memfokuskan kepada pengalaman lebih lasak, ia hadir dengan kerangka yang mampu bertahan dari 1.5m tinggi. Malah jika tidak dipasang kerangka pun, ia mampu bertahan dari ketinggian 1.2m.



Seperti yang dijangka, ia turut menawarkan fungsi IP68 serta MIL-STD-810H. Skrinnya juga turut direka untuk kegunaan dengan sarung tangan.

Malah, stylus yang disertakan turut mempunyai ciri IP68 sama jika pengguna mahu menavigasi tablet secara alternatif.



Untuk spesifikasi, Galaxy Tab Active3 hadir dengan cip Exynos 9810 yang merupakan cip sama pada Galaxy S9 dan Note 9. Bersama-sama dengannya, terdapat RAM 4GB dan storan dalaman 64GB/128GB dengan sokongan kad microSD.

Skrin hadapannya adalah berukuran 8 inci LCD dengan resolusi 1200 x 1920 pixel. Kamera pula hanya ada 2 - satu hadapan dan satu belakang.

Kamera belakangnya adalah 13MP tunggal manakala swafoto pula 5MP.



Ia mempunyai kapasiti bateri 5,050mAh namun baterinya boleh ditukar dan diganti untuk memudahkan pengguna. Kemudiannya terdapat dermaga pin POGO yang digunakan untuk mengecas selain menggunakan USBnya.

Samsung sudah mula menjual Galaxy Tab Active3 ini di beberapa negara di Eropah dan Asia. Untuk pasaran Malaysia pula, masih belum diketahui jika Samsung akan membawa masuk produk ini atau tidak.

Sumber: Samsung