Samsung Keluarkan Galaxy Note 8 Edisi Olimpik Musim Sejuk

Kurang dari sebulan lagi sukan Olimpik musim sejuk akan bermula di Pyeongchang, Korea Selatan. Sempena acara sukan tersebut, Samsung mengumumkan yang mereka akan mengeluarkan peranti eksklusif, Galaxy Note 8 untuk kejohanan olimpik musim sejuk itu dan akan diberikan kepada atlit-atlit yang bertanding dalam kejohanan sukan tersebut

Tahun ini menandakan ulangtahun ke-30 Samsung dalam sukan olimpik sejak kali pertama menaja sukan itu pada tahun 1988 di Olimpik Seoul.

Ini bukan kali pertama Samsung memberi peranti telefon pintar mereka kepada atlit-atlit yang terlibat dalam sukan olimpik. Mereka melakukannya kali pertama semasa sukan Olimpik Sochi, dengan memberikan peranti Galaxy Note 3. Kali kedua ialah semasa Olimpik Rio dengan peranti Galaxy S7.



Untuk sukan Olimpik Pyeongchang ini, atlit sukan akan menerima Galaxy Note 8 dengan tema warna putih salji di bahagian belakang peranti bersama logo cincin olimpik berwarna emas. Untuk bahagian perisian pula, wallpaper edisi olimpik akan disertakan bersama peranti ini. Galaxy Note 8 edisi Olimpik Pyeongchang ini dikatakan akan dikeluarkan sebanyak 4,000 kuantiti sahaja.

Olimpik Pyeongchang akan bermula pada 9 Febuari dan berakhir pada 25 Febuari.