Samsung Galaxy A11, Skrin 6.4 Inci Dan Tiga Kamera Belakang

Disebut-sebut untuk beberapa ketika, Galaxy A11 daripada Samsung kini telah rasmi disenaraikan pada halaman rasmi pengeluar itu. Merupakan model permulaan bagi siri pertengahan Galaxy A, ia didatangkan dengan skrin paparan LCD 6.4 inci bersama resolusi HD+.



Bahagian hadapan tersebut turut mempunyai rekaan berlubang untuk diisikan dengan kamera 8MP. Kamera belakang pula terdiri daripada tiga kamera; 13MP utama+5MP ultra lebar+2MP depth.

Menguasakan peranti adalah cip 8 teras 1.8GHz dipadankan memori RAM 2GB/3GB serta storan seluas 32GB. Ruang simpanan itu boleh ditambah melalui sokongan kad MikroSD sehingga 512GB. Bahagian panel belakang diperbuat daripada plastik pula menyajikan empat pilihan warna iaitu putih, biru, merah dan hitam. Ciri imbasan cap jari juga diletakkan sekitar kawasan belakang.



Untuk janaan kuasa, Samsung membekalkan bateri berkapasiti 4000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 15W.

Buat masa sekarang, harga jualan untuk Samsung Galaxy A11 masih belum didedahkan lagi.

Sumber: Samsung via Android Police