Samsung Akan Perkenalkan Galaxy S20 Fan Edition Sebagai Penerus Legasi S10 Lite

Beberapa minggu sebelum pelancaran Galaxy S20, Samsung memperkenalkan Galaxy S10 Lite dan Galaxy Note 10 Lite yang merupakan barisan model versi mampu milik untuk siri S10 dan juga Note 10.

Untuk Galaxy S20, Samsung masih mahu meneruskan strategi yang sama dengan pelancaran Galaxy S20 Fan Edition. Penamaan Fan Edition sebelum ini pernah digunakan pada Galaxy Note Fan Edition (FE) sebagai pengenalan semula Note 7 akibat dari isu bateri meletup.

Imej Galaxy S20 Fan Edition ini telah dikongsi oleh Evan Blass yang mempamerkan rupa bentuk hadapan peranti. Secara kasar, ia mempunyai rekaan mirip Galaxy S20 biasa dengan kamera punch-hole pada bahagian tengah.

Kapsyen: Kredit gambar: Evan Blass


Untuk Fan Edition, skrin peranti akan rata sepenuhnya dan tidak melengkung sepertimana pada S20. Spesifikasi yang diura-urakan adalah Snapdragon 865, namun untuk pasaran antarabangsa, Exynos mungkin pilihan Samsung.

S20 Fan Edition ini akan dilengkapi skrin 6.5~6.7 inci dengan kadar segar semula 120Hz, piawaian kalis air dan debu IP68 serta 3 kamera belakang. Kapasiti bateri akan dimuatkan dengan 4,500mAh manakala harga yang dilaporkan adalah 900,000 won (~RM3,178).

Peranti ini tidak akan dilancarkan pada acara Galaxy Unpacked esok hari dan masih lagi belum diketahui tarikh rasmi pelancarannya.

 

 

 

Berkaitan