Sailfish OS, Sistem Operasi Yang Mungkin Anda Tidak Pernah Dengari

Ketika dunia sistem operasi telefon pintar didominasi oleh dua nama, iOS dan Android, nama-nama lain seperti Windows Phone, Firefox OS dan Ubuntu OS kurang mendapat perhatian pengguna dek kerana kurangnya sokongan dan penggunaan dari pengeluar telefon pintar.

Sailfish OS juga menghadapi masalah yang sama setelah mencuba beberapa kali untuk mengkomersialkan sistem operasi mereka ke pengeluar-pengeluar telefon pintar. Sistem operasi ini merupakan kesinambungan platform MeeGo yang dipinggirkan Nokia untuk peranti Windows Phone mereka. Jolla kemudian mengambil idea yang sama dan menukarkannya kepada Sailfish.

https://youtu.be/lfAixpkzcBQ

Sailfish berkisar tentang gerakan jari atau swipe  untuk menggunakannya dan mengundang pelbagai reaksi bercampur dari pengguna dan pengkritik. Mereka meneruskan projek mereka dengan cuba memasarkan sistem operasi mereka bersama peranti tablet. Projek tersebut gagal disebabkan beberapa masalah dengan pembekal komponen mengakibatkan Jolla terpaksa menanggung kerugian yang tinggi.



Jolla kemudian diisytiharkan muflis dan mereka membubarkan divisyen peranti mereka dan menumpukan sepenuh perhatian mereka terhadap bisnes perisian. Mereka berjaya mendapatkan beberapa pengeluar telefon pintar menggunakan perisian mereka termasuk Turing Phone.



Jolla menawarkan sesuatu yang tidak ditawarkan oleh pembina-pembina sistem operasi lain di dunia, sumber kod untuk Sailfish. Tawaran tersebut menarik perhatian pengeluar termasuk badan-badan kerajaan di dunia untuk menggunakan Sailfish. Sumber kod boleh digunakan oleh pembeli lesen untuk mengubahsuai sistem operasi mereka termasuk bahagian keselamatan menjadikan sistem operasi tersebut lebih selamat dan sukar ditembusi oleh anasir luaran.



Jolla di MWC 2018 telah memperkenalkan Sailfish X yang boleh digunakan untuk peranti Sony Xperia™ X dan bercadang untuk meneruskan sokongan untuk peranti Xperia™ XA2. Perjalanan Sailfish dalam dunia sistem operasi masih jauh tetapi sedikit demi sedikit mereka cuba menonjolkan diri sebagai lain dari yang lain di dalam dunia yang tersepit antara dua gergasi.

Sumber