Rindu Permainan Flappy Bird? Kini Ada Flappy Royale, Bersaing Dengan 100 Pemain Lain

Aplikasi permainan Flappy Bird pernah menjadi fenomena dalam kalangan pengguna telefon pintar suatu ketika dahulu.

Ia bagaimanapun dipadam dari Google Play Store dan App Store kerana pembangun permainan tersebut, Dong Nguyen menyatakan Flappy Bird yang seharusnya dimain untuk seketika telah menjadi ketagihan bagi peminat. Beliau menyifatkan ia sebagai suatu masalah dan mengambil keputusan untuk memadamnya terus.

Namun begitu, pembangun lain hadir menawarkan permainan dengan konsep yang sama dan antara yang terbaru adalah Flappy Royale. Ia pada mulanya hanya ditawarkan pada versi Beta namun kini sudah boleh mula dimuat turun semua pengguna yang berminat. Cara bermain masih sama, tetapi ia hadir berinspirasikan gaya battle royale dimana pengguna perlu bersaing bersama pengguna yang lain.


Jika diawal permainan PUBG pemain dikumpulkan dalam sebuah pesawat, Flappy Royale menggunakan bas dan 100 pemain akan bersaing mengelak deretan batang paip dengan jarak paling jauh.

Menurut pembangun Flappy Royale, Therox, semasa tempoh beta dijalankan, ia telah dimainkan sebanyak 10 juta kali. Muat turun Flappy Royale dari Google Play Store dan AppStore.