Remaja Australia Berjaya Curi 90-Gigabait Data Daripada Pelayan Apple

Apple terkenal dengan ciri-ciri keselamatan pada setiap perantinya. Ia terlalu selamat sehinggakan agensi terkemuka Amerika, CIA juga tidak berjaya dalam menggodam peranti iPhone keluaran mereka.

Namun, hakikatnya mereka telah gagal dalam menyediakan perlindungan terbaik bagi sistem pelayan mereka sendiri. Ia dibuktikan apabila seorang pelajar dari Australia telah ditahan akibat menggodam dan mencuri sejumlah 90 GB data daripada pelayan Apple.



Dia dikatakan telah menceroboh masuk ke dalam pelayan Apple beberapa kali sepanjang tahun ini melalui 'pintu belakang' yang dibangunkannya sendiri. Segala data yang digodam telah disimpan dalam satu fail di komputernya, yang dinamakan 'hacky hack hack'. 

Satu tindakan yang kurang bijak daripada seorang penggodam. Semasa tangkapan dibuat, pihak polis turut merampas dua buah komputer peribadi, sebuah telefon pintar serta satu cakera keras.

Tertuduh dikatakan melakukannya sekadar suka-suka dan kerana mengimpikan untuk bekerja di syarikat teknologi Amerika berkenaan. Dia membuat pengakuan salah ketika ditangkap, namun keputusan undang-undang kepadanya hanya akan diketahui bulan depan.

 

Sumber