Rekaan 3D Bagi Telefon Boleh Lipat Samsung Galaxy F Dipertonton

Samsung akhirnya telah mempertontonkan telefon dengan skrin boleh lipat pertama mereka, Galaxy F semasa SDC 2018 minggu lepas. Bagaimanapun, pihak media tidak berpeluang untuk menangkap imej peranti berkenaan secara dekat dan hanya diperlihatkan dari jarak jauh ketika itu.

Akan tetapi menurut laporan, peranti yang dipertontonkan pada majlis berkenaan bukanlah peranti akhir yang akan dipasarkan. Atas sebab itu, LetsGoDigital telah pun membangunkan satu rekaan 3D bagi telefon Galaxy F berdasarkan lakaran paten yang dibuat oleh pihak Samsung.

Kapsyen: Kredit: LetsGoDigital


Samsung Galaxy F ini pada asalnya bersaiz 7.3-inci sebelum dilipat, menjadikannya sebuah peranti phablet. Ia dilaporkan akan menggunakan paparan Infinity Flex Display dengan panel SuperAMOLED.

Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa model pertama dengan skrin boleh lipat Samsung ini akan dipasarkan pada harga $1,700 apabila diniagakan nanti. Ia dijangkan akan diperkenalkan secara rasmi pada bulan Mac 2019.

 

Sumber: LetsGoDigital