Redmi Pertontonkan Paparan 144Hz Melalui Model K30 5G

Mutakhir ini kita sedia melihat telefon pintar yang dilengkapi dengan paparan bersama kadar penyegaran 120Hz mula diperkenalkan pengeluar. Melalui kadar penyegaran yang tinggi ini, tatalan pada paparan lebih lancar serta memberikan kelebihan sewaktu bermain permainan yang mempunyai sokongan tersebut.

Penawaran paparan dengan kadar penyegaran 120Hz untuk tahun 2020 mungkin akan dibuat dengan lebih banyak lagi, namun Redmi mahukan lebih daripada itu. Berdasarkan perkongsian oleh Pengurus Besar Redmi, Lu Weibing, beliau mempertontonkan Redmi K30 dengan ciri paparan 144Hz.

Melalui video berdurasi 15 saat, ia memperlihatkan kadar penyegaran sehingga 144Hz melebihi apa yang sedang ditawarkan pada pasaran ketika ini. Difahamkan peranti yang digunakan dalam demonstrasi ini adalah Redmi K30 5G yang telah dilancarkan pada Disember tahun lalu. Sewaktu dilancarkan, ia tampil dengan paparan LCD 6.67 inci Full HD+ (1080×2400) serta menyokong kadar penyegaran 120Hz, menjadikannya peranti pertama dari Redmi dengan ciri tersebut.

https://www.youtube.com/watch?v=ckFN_fWImLY&feature=emb_title

Menurut Weibing, ini merupakan ujian yang dijalankan di makmal mereka dan beliau tidak menyatakan informasi lain mengenai penawaran rasmi kadar penyegaran itu pada peranti.

Sumber: Weibo