realme V3 Turut Diumumkan, Dijana Cip MediaTek Dimensity 720

Selain realme X7 dan realme X7 Pro, realme turut mengumumkan satu lagi peranti iaitu realme V3. Ia merupakan peranti 5G dengan harga berpatutan yang ada di pasaran ketika ini.



Dari segi spesifikasi, realme V3 dilengkapi skrin paparan 6.5 inci dengan panel IPS LCD yang menyokong resolusi HD+ serta nisbah 20:9.

Peranti ini dikuasakan cip pemproses MediaTek Dimensity 720 dengan sokongan RAM sehingga 8GB LPDDR4x serta storan UFS 2.1 sehingga 128GB. Untuk penambahan storan, terdapat slot kad micro-SD.

Selain itu, realme V3 dimuatkan dengan kapasiti bateri 5000mAh serta sokongan pengecasan pantas 18W.

Terdapat takuk kecil pada paparan yang dimuatkan sensor kamera swafoto 8MP. Di bahagian belakang pula dilengkapi imbasan cap jari serta modul kamera bersegi empat dengan tri-kamera yang terdiri daripada 13MP utama, 2MP makro dan 2MP depth.

Antara ciri lain yang hadir pada peranti ini termasuk sambungan 5G, Bluetooth 5.0, GPS, USB-C serta bicu audio 3.5mm. Ia menjalankan realmeUI berasaskan Android 10.



realme V3 ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Sea Blue dan Moonlight White.

Harga yang ditawarkan


Untuk pasaran China, ia didatangkan dengan tiga varian iaitu:

  • 6 GB RAM + 64 GB - 999 Yuan (~RM606)

  • 6 GB RAM + 128 GB - 1,399 Yuan (~RM849)

  • 8 GB RAM + 128 GB – 1,599 Yuan (~RM970)


realme V3 telah tersedia untuk pra-tempah bagi pasaran China. Bagaimanapun, tiada pengumuman rasmi dari realme bila peranti ini akan tersedia untuk pasaran global.

Sumber: realme