realme V15 5G Kini Dilancarkan - Dilengkapi Cip Dimensity 800U, Kamera 64MP, Skrin Super AMOLED

Memasuki tahun baru, realme kini membuka tirai dengan pelancaran peranti baharu, realme V15 5G. Menerusi pelancaran ini juga, ia sekaligus menidakkan spekulasi sebelumnya yang menyatakan realme V15 dijana cip pemproses Snapdragon 888.

realme V15

realme V15 dilengkapi skrin berukuran 6.4-inci Super AMOLED. Terdapat paparan berlubang yang menempatkan kamera swafoto 16MP.

Menguasakan peranti adalah janaan cip pemproses MediaTek Dimensity 800U yang menyokong rangkaian 5G. Terdapat dua pilihan memori yang disediakan dengan 6GB+128GB dan 8GB+128GB.



Dari segi kamera, sejumlah empat kamera dimuatkan pada peranti ini dengan satu di bahagian hadapan dan tiga di belakang. Kamera belakang terdiri daripada 64MP utama, 8MP sudut lebar dan lensa makro.

realme V15

Peranti ini dimuatkan dengan bateri berkapasiti 4310mAh yang menyokong 50W Smart Flash Charge. Menurut realme, menerusi pengecasan ini, ia mampu mengisi 50% bateri dalam tempoh 18 minit. Bagaimanapun, pengecas standard 65W ada disediakan dalam kotak pembelian.



Antara lainnya adalah sokongan imbasan cap jari pada skrin serta hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Koi, Mirror Lake Blue dan Crescent Silver.

Dari segi harga, realme V15 ditawarkan pada harga bermula 1499 yuan (~RM931) untuk varian 6GB+128GB. Buat masa ini, ia hanya hadir untuk pasaran China dan belum diketahui bila peranti ini akan ditawarkan untuk pasaran global.