Telefon paling premium dan berstatus andalan daripada Samsung setakat ini, iaitu Galaxy S22 Ultra akhirnya memasuki pasaran tempatan pada awal Februari lepas.
Selain daripada cip baharu yang digunakan – Snapdragon 8 Gen 1 atau Exynos 2200, peranti ini juga merupakan ‘permulaan’ era baharu buat siri Galaxy Note yang sudah sekian lama tidak dilancarkan.
Oleh itu, Galaxy S22 Ultra pun sudah selamat mendarat di Wiser dan seperti biasa, ini merupakan reaksi awal kami terhadapnya. Ada beberapa perkara menarik dan kurang menarik berkaitan peranti tersebut.
Apa Dalam Kotak?
Rasanya semua sudah maklum yang bermula siri Samsung Galaxy S21, mereka menerapkan pembungkusan baharu mirip Apple. Lebih kecil dengan tiada pengecas disertakan di dalam kotak.
Jadi, apabila anda mahu berhijrah kepada Samsung misalnya, jangan terkejut jika di dalam hanya mempunyai sebuah telefon berserta dokumen, SIM ejector dan kabel USB-C.
Peminat Malaysia Akhirnya Dapat Snapdragon
Setelah sekian lama diminta, akhirnya barisan siri Samsung Galaxy S22 buat pasaran tempatan menerima cip janaan Snapdragon. Jika dahulu, kita hanya menerima model berasaskan Exynos sahaja.
Kalau Snapdragon, perlu menunggu versi peminat atau ‘FE’. Namun, kini tidak lagi. Anda sudah dapat telefon yang diidamkan, iaitu peranti dengan Snapdragon 8 Gen 1.
Berikut ialah spesifikasi penuh Galaxy S22 Ultra:
- Skrin – 6.8 inci Dynamic AMOLED 2X, WQHD+, 120Hz, HDR10+, 500 ppi
- Pemproses – Snapdragon 8 Gen 1
- Memori – 8GB/12GB RAM LPDDR5
- Storan – 128GB/256GB/512GB UFS 3.1
- Bateri – 5000mAh, 45W berwayar, 15W tanpa wayar
- Kamera Belakang – 108MP utama, 12MP ultra lebar, 10MP telefoto (zum optikal 10x), 10MP telefoto (zum optikal 3x), zum resolusi super 100x
- Kamera Swafoto – 40MP
- Penarafan – Kalis air IP68
Legasi ‘Note’ Kini Dipikul ‘Ultra’
Bagi peminat siri Note daripada Samsung, anda perlu tanamkan dalam diri bahawa Note yang dahulu bukanlah yang sekarang. Dulu ada nama Note, sekarang tidak lagi.
Sekiranya dahulu, telefon berkelas andalan siri Galaxy terpecah pada dua, “Galaxy S” dan “Galaxy Note”. Namun, bermula tahun ini, segalanya berubah.
Bahkan, Samsung sendiri sudah mengesahkan perkara ini semasa acara MWC 2022 baru-baru ini. Bermakna, mana-mana model Galaxy S dengan nama Ultra ialah Galaxy Note.
Sebenarnya, mungkin dah tidak ada keperluan lagi untuk memperkenalkan barisan Galaxy Note memandangkan Galaxy S22 Ultra menyokong S Pen dan juga hadirnya slot untuk menyimpannya, persis yang wujud dalam Note.
Rekaan yang ditampilkan pada model tertinggi ini juga berkongsikan ciri-ciri pada Galaxy Note20 Ultra terdahulu.
Kalau ada yang tertanya-tanya tentang kamera Galaxy S22 Ultra, jangan terkejut yang sebenarnya tetapan lensa masih dalam kedudukan sama dengan Galaxy S21 Ultra.
Bezanya ialah ‘pelindung’ bonggol kamera sudah hilang. Bagaimanapun, rekaan sebegini secara tidak langsung membuatkan lebih takut untuk menggunakannya tanpa kerangka pelindung.
Panel belakangnya diperbuat daripada kaca Gorilla Glass Victus+. Kaca lebih tahan lasak ini turut dipadankan kemasan matte yang bagi saya ia langkah betul kerana tampak lebih premium di samping lebih sedap dipegang.
Seperkara yang mencuri tumpuan saya semasa mula memegang peranti ini adalah ringan. Bukanlah nak kata ringan seperti kertas namun memang ringan berbanding iPhone 13 Pro Max yang pernah saya cuba.
Akan tetapi, walaupun saiz besar dan ringan, saya berasakan masih kurang sesuai untuk digunakan dengan sebelah tangan.
Selain itu, pilihan warna yang berada pada saya ini ialah Burgundy. Sejujurnya, warna tersebut dan warna hijau merupakan kemasan warna paling cantik pada pandangan peribadi.
Secara keseluruhan, saya berani katakan bahawa Galaxy S22 Ultra bukan sahaja hadir dengan spesifikasi andalan tetapi turut didatangkan pakej feel premium.
Ultra Bukan Sekadar Nama
Ultra bukan sebarang Ultra, nama ini memikul tanggungjawab baharu kerana mereka perlu membawa legasi Note bersamanya.
Bermula dengan S Pen, kali ini Samsung berjaya mengurangkan latency daripada 9ms kepada 2.8ms sahaja. Maknanya, tiadalah terasa lag sewaktu menulis.
Selain S Pen, ‘pendekatan’ baharu dalam barisan model Samsung kali ini adalah sokongan kemas kini Android sehingga 4 tahun. Anda mendengarnya dengan betul.
Jika sebelum ini, ramai beranggapan kebanyakan telefon Android tidak akan menerima kemas kini sistem perisian yang terbaru seperti iOS. Yang boleh menerima sokongan lebih lama pun terhad buat Google Pixel. Namun, Galaxy S22 Ultra yang hadir dengan Android 12 ini mampu menerima kemas kini sehingga Android 16.
Salah satu faktor utama yang saya gemar pada peranti Samsung ialah skrin. Walaupun Galaxy S22 Ultra masih menggunakan paparan Dynamic AMOLED 2X tetapi kali ini ia menyokong kadar kecerahan maksimum 1750 nits.
Ketika saya cuba mengujinya di bawah terik mentari, dengan begitu sahaja saya mampu melihat skrin peranti ini tanpa sebarang masalah. Jauh berbeza dengan telefon iPhone yang saya gunakan.
Akan tetapi, saya hairan mengapa Samsung masih mahu menawarkan skrin melengkung walaupun lengkungannya kali ini tidak begitu ketara.
Dalam penggunaan harian, saya memang tidak menggemari telefon yang mempunyai skrin melengkung. Tak kira apa jenama sekali pun. Ia memang nampak cantik tetapi kadangkala tangan saya yang agak besar ini akan tersentuh pada bahagian sisi skrin ini.
Jadi, kalau anda seperti saya, anda boleh pilih model Galaxy S22 atau Galaxy S22+ yang lengkap dengan skrin rata.
Beralih pada bahagian prestasi, pasti ramai yang mahu mengetahui sejauh mana kehebatan Snapdragon 8 Gen 1.
Sebenarnya terlalu awal untuk saya mengulas prestasinya memandangkan saya masih baru lagi menggunakannya serta ini adalah pengalaman awal sahaja.
Namun, setakat ini, apa yang saya boleh simpulkan adalah memang baik. One UI 4.1 pun terasa lancar sahaja.
Isu bateri pula, memang tiada masalah untuk menggunakan seharian tetapi pengecasan tidak begitu pantas. Masalah suhu pun tidak terasa bagi penggunaan harian.
Walau apa pun, pada pandangan awal saya, Galaxy S22 Ultra ini memang sedang berada dalam kelas tersendirinya. Andalan dicampur premium dan diletakkan pada tanda harga bermula RM5099.
Mungkin anda tidak berasa puas dan mahu mengetahui tentangnya lagi. Sabar kerana ulasan penuh Samsung Galaxy S22 Ultra akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Baca juga: