Samsung Galaxy S22 Ultra Bermula RM5,099 - 6.8" AMOLED QHD, Kamera 108MP, S-Pen Terbina

Selain Galaxy S22 dan Galaxy S22+, Galaxy S22 Ultra juga turut dilancarkan sebagai model paling premium tahun ini. Dengan S22 Ultra juga, ia telah menggantikan siri Note kerana sokongan S-Pen yang hadir secara terbina secara tidak langsung tiada lagi keperluan untuk telefon bernama "Note".

Selain membawakan spesifikasi paling tinggi, ia juga hadir dengan rekaan lebih besar berbanding model adik-beradik lain.



Bermula dengan rekaan, Galaxy S22 Ultra mengambil pendekatan berbeza dari S22 dan S22+ kerana menggunakan rekaan kotak Galaxy Note yang bersisi lengkung.

Bahagian belakang juga berbeza di mana kamera tidak disusun dalam satu modul sebaliknya dibiarkan timbul begitu sahaja.

Secara tidak langsung ini merupakan sebuah rekaan yang baharu tidak pernah dilihat pada siri Galaxy S sebelum-sebelum ini.



Skrin pada S22 Ultra adalah lebih besar dengan 6.8 inci Edge QHD+ Dynamic AMOLED 2X bersama kecerahan maksimum 1750 nits. Ia juga turut menyokong kadar segar semula adaptif 1-120Hz di samping input sentuh sehingga 240Hz.

Bersama-sama skrinnya juga turut diletakkan pengimbas cap jari ultrasonik sebagai sekuriti biometrik.



Seperti S22 dan S22+, S22 Ultra turut dikuasakan cip Snapdragon 8 Gen 1  dengan pilihan RAM sehingga 12GB serta storan sehingga 512GB tanpa sokongan microSD.

Bahagian kamera belakang pula dibarisi sistem 4 kamera - 108MP utama, 12MP sudut lebar, 10MP telefoto 3x optikal, dan 10MP telefoto 10x optikal dengan zum lebih jauh. Swafoto pula adalah dari unit 40MP.



Kapasiti bateri yang diberikan adalah semestinya lebih besar dari S22 dan S22+ namun sebenarnya sama sahaja dengan S21 Ultra sebelum ini iaitu 5,000mAh. Bersama-samanya, terdapat pengecasan pantas 45w juga dengan sokongan pengecasan tanpa wayar 15W yang malangnya masih lagi perlahan.

Apa yang menjadi tarikan utama tentang Galaxy S22 Ultra adalah sokongan S-Pen terbina. S-Pen ini juga menyokong tambatan Bluetooth untuk mengawalnya dari jarak jauh.



Untuk antaramuka, ia menggunakan One UI 4.1 yang berasaskan Android 12. Antara ciri lain adalah 5G, Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.2, dan juga IP68.

Di Malaysia, Samsung Galaxy S22 Ultra dijual pada harga bermula RM5,099. Pratempah S22 Ultra sudah boleh dibuat bermula esok (10 Februari 2022) di laman Samsung, syarikat telekomunikasi dan juga kedai atas talian.

Berikut merupakan varian yang dijual untuk pasaran Malaysia.

  • Samsung Galaxy S22 5G Ultra 128GB – RM5,099

  • Samsung Galaxy S22 5G Ultra 256GB – RM5,499

  • Samsung Galaxy S22 5G Ultra 512GB – RM5,899


 

Berkaitan