HONOR Februari lepas telah pun melancarkan telefon andalan (flagship) Magic4 Pro mereka dan ia akan memasuki pasaran Malaysia pada 1 Jun hadapan.
Oleh itu, berikut merupakan perkara-perkara yang ingin kami ketengahkan kepada anda.
Rekaan Fizikal
HONOR Magic4 Pro mempunyai dimensi fizikal yang hampir seimbang. Hal ini demikian, peranti ini mempunyai lebar yang hampir tepat dan terasa benar-benar selesa dalam genggaman tangan saya.
Walau bagaimanapun, dimensi peranti ini mempunyai tinggi yang agak berlebihan daripada genggaman penuh tangan saya. Oleh itu, peranti ini mungkin tidak mesra penggunaan satu tangan untuk sesetengah pengguna.
Selain itu, HONOR Magic 4pro mempunyai binaan yang kukuh dan solid. Oleh itu, saya tiada sebarang aduan yang ingin diketengahkan untuk binaan panel belakang peranti ini.
Tetapi, HONOR Magic4 Pro mempunyai panel belakang jenis licin yang bagi saya agak melecehkan. Hal ini kerana ia mudah menangkap cap jari dan menjadikan peranti ini magnet kepada cap jari.
Saya tidak berminat akan rekaan bonggol dan modul kamera HONOR Magic4 Pro ini. Ia bukan sahaja mempunyai bentuk yang ketara, malahan saiznya juga agak besar dan sangat kelihatan sekiranya tidak memakai ‘casing’.
Namun, rekaan sebegini bukanlah baharu kerana kalau anda memang mengikuti rapat perkembangan telefon pintar Huawei, ia telah pun menggunakan rekaan sebegini. Ia juga mengingatkan saya akan Huawei Mate 40 Pro tetapi bulatan yang menempatkan kameranya jauh lebih besar.
Skrin
HONOR Magic4 Pro mempunyai rekaan saiz melengkung yang penuh, menawan dan sangat estetik. Selain itu, ia mempunyai paparan yang jelas, kontras yang seimbang dan tajam.
Secara ringkasnya, paparan HONOR Magic4 Pro salah satu skrin tercantik dalam peranti Android buat masa ini. Walaupun begitu, skrin yang cantik ini ditampilkan lubang kamera yang panjang sedikit berbanding peranti lain.
Hal ini demikian, HONOR Magic4 Pro mempunyai 2 kamera swafoto, jadi ia memerlukan ruang yang lebih besar berbanding kamera swafoto peranti android yang lain.
Oleh itu, ia kelihatan sangat mengganggu pengalaman estetik penuh akan paparan skrin peranti ini. Bagaimanapun, ia masih mempunyai kelebihan kerana membenarkan nyahkunci peranti menerusi imbasan wajah 3D.
Prestasi
HONOR melakukan perkara yang betul dalam hampir kesemua aspek pada HONOR Magic4 Pro ini. Peranti ini mempunyai rekaan yang simple tapi estetik dan binaan yang kukuh walaupun panel belakangnya menggunakan kemasan licau (glossy finish).
Selain itu, pengalaman penggunaan pada peranti ini sangat lancar, ringan, dan mempunyai sistem operasi Magic UI 6.0 yang memberi anda pengalaman penggunaan android antara yang terbaik di pasaran. Lebih-lebih lagi kalau anda merindukan sistem operasi yang ada pada Huawei.
Peranti ini turut menyokong pengecasan secara wayar dan tanpa wayar. Apa yang menarik adalah, peranti ini menyokong kedua-dua jenis pengecasan sehingga 100W.
Setelah mencuba pengecas tanpa wayar 100w HONOR pada peranti ini, saya tidak menafikan prestasi pengecasan tanpa wayar 100W ini memang cukup pantas umpama ia dicas menggunakan wayar.
Tetapi, prestasi pengecas berwayar 100W dan pengecas tanpa wayar 100W HONOR sememangnya tidak mempunyai masa pengecasan yang sama jika anda membandingkan kedua-dua pengecas tersebut.
Hal ini kerana, pengecas tanpa wayar tidak seefektif pengecas berwayar kerana ia cenderung untuk menjadi panas. Selain itu, kami telah mencuba peranti iPhone 13 Pro Max pada pengecas tanpa wayar 100W HONOR , tetapi prestasi pengecasannya tidaklah sepantas HONOR Magic4 Pro kerana iPhone tidak menyokong pengecasan sehingga 100W.
Kamera
Dalam bab kamera HONOR Magic4 Pro ini, saya ingin menyentuh sedikit sahaja iaitu kecanggihan AI kamera utamanya apabila anda menangkap gambar dikawasan yang terang.
HONOR Magic4 Pro ini mempunyai HONOR Ultra Fusion Photography dalam sistem kameranya. Secara ringkas, ketika anda menangkap gambar, peranti ini akan menggunakan kesemua lensa yang ada. Selepas itu, kecerdasan buatannya (AI) akan secara automatik mengoptimumkan gambar tersebut untuk menjadi lebih baik.
Setakat penggunaan awal menggunakan kameranya, saya berpuas hati juga dengan hasil yang diberikan. Namun, banyak lagi fungsi belum saya cuba. Segalanya akan dirumuskan dalam ulasan selepas ia dilancarkan kelak.
Harga
Jangan risau, sedikit sahaja lagi sebelum HONOR Magic4 Pro menjengah pasaran tempatan. Peranti ini mungkin dijual pada tanda harga sekitar RM4,999 atau sebaliknya seperti harga Xiaomi 12 Pro, sekitar RM4000.
Pertamanya, banyak peranti baharu seperti OPPO Find X5 Pro dan vivo X80 Pro telah menjual peranti andalan mereka pada tanda harga tersebut. Oleh itu, berkemungkinan HONOR akan mengikut langkah yang sama.
Seterusnya, tidak mustahil untuk HONOR menjual peranti ini pada harga yang lebih murah daripada RM4,999 untuk lebih berdaya saing dengan peranti daripada vivo dan OPPO tersebut.
Jika diikutkan, HONOR X7, X8 dan X9 terdahulu mampu memberi saingan dalam peranti berkelas pertengahan seperti Redmi dan realme.
Jadi, berkemungkinan HONOR boleh mencuba menjualnya dengan tanda harga lebih murah atau tidak mencapai sehingga RM5000.
Walau apa pun, benar atau tidak harganya, sama-sama kita nantikan kehadirannya nanti.
Baca juga: