Sebut sahaja nama Huawei, lantas ramai yang menyebut “No Google, No Party seakan-akan tidak menghiraukan langsung apa pembawaan dan teknologi terbaharu yang disertakan pada telefon Huawei.
Namun, masa beredar begitu pantas dan kini kita telah menyaksikan bagaimana Huawei cuba untuk memberikan yang terbaik melalui penawaran HMS dalam pelbagai generasi bermula dari Huawei Mate 30 Pro sebagai telefon mercu pertama mereka dengan ketiadaan akses Google.
Kini, Huawei Mate 40 Pro memberikan penampilan meyakinkan dengan perkakas lebih berkuasa dan juga perisian lebih gilap berbanding generasi sebelumnya.
Namun, adakah usaha-usaha Huawei dalam memberi penawaran HMS terbaik untuk pengguna mampu diterjemahkan dalam Mate 40 Pro ini, segalanya akan terjawab dalam artikel ulasan ini. Terlebih dahulu, mari berkenalan dengan spesifikasi Huawei Mate 40 Pro yang kami bakal ulaskan ini.
Spesifikasi
- Skrin: OLED 6.76 inci (1344 x 2772), 18.5:9, 90Hz
- Cip pemprosesan: 5nm Kirin 9000 5G (Mali-G78 MP24)
- Memori: RAM 8GB, Storan 256GB (UFS 3.1)
- 4 kamera belakang: 50MP(f/1.9) Utama + 12MP(f/3.4) Periskop Zum 5X Optikal + 20MP(f/1.8) Sudut Lebar
- Swafoto: 13MP(f/2.4) + TOF 3D
- Bateri: 4400mAh (USB Type-C) dengan 66W, Tanpa Wayar 50W, Tanpa Wayar Berbalik 5W
- Perisian: EMUI 11 berasaskan Android 10, HMS
Bahan Binaan / Rekaan
Bermula dengan rekaan terlebih dahulu, Huawei Mate 40 Pro didatangkan dengan rekaan kaca belakang dan sisi aluminium. Sekali pandang sahaja sudah tentu setuju ia merupakan telefon yang cantik dengan kemasan warna seakan pelangi lembut.
Unit yang kami terima adalah Mystic Silver yang mempunyai pantulan cahaya pelangi jika dilihat dari pelbagai sudut. Ia mempunyai kemasan mate dan kacanya tidak berkilau. Namun begitu, ia mudah untuk memerangkap cap jari dan senang untuk menjadi comot.
Walau bagaimanapun, kemasan ini menjadikan telefon tidak terlalu licin. Saiz telefon ini agak besar jadi kemasan sebegini sedikit sebanyak membantu pengguna mudah mengendalikannya tanpa rasa risau terjatuh.
Pada bahagian sisi, dapat dirasakan aliran dari panel belakang ke sisinya tidak selancar atau licin seperti telefon Samsung yang mahal. Anda boleh merasakan terdapat bonggol kecil jika menyapukan jari dari belakang panel ke sisinya. Ini adalah perkara kecil yang boleh diendahkan namun tidak salah untuk membandingkannya dengan kualiti dari telefon seperti Samsung.
Pada Huawei Mate 30 Pro, antara perkara yang saya kurang gemari adalah tiada butang fizikal membuatkan menavigasi telefon seakan janggal. Huawei kelihatannya mendengar rintihan peminat dan kembali meletakkan butang fizikal kawalan bunyi dan juga kuasa pada bahagian sisi.
Disebabkan paparan air terjunnya begitu dramatik, butang fizikal tersebut diletakkan secara sedikit menyenget menghampiri panel belakang telefon. Walau sedikit senget, ia tidak mendatangkan masalah dari segi penggunaan butang tersebut.
Beralih kepada bahagian kiri, tiada sebarang butang yang diperlihatkan. Bahagian bawah pula memuatkan pembesar suara, lubang USB-C, dan juga slot SIM.
Pada bahagian atas, anda akan dapat melihat satu lagi set pembesar suara yang membuat kemunculan semula selepas ketiadaannya pada Huawei Mate 30 Pro. Huawei Mate 40 Pro mempunyai pembesar suara stereo berbanding model sebelumnya yang menggunakan sistem mono sahaja.
Mendengar audio dari telefon ini sangat mengasyikkan disebabkan kualiti yang sangat lantang dan juga memuaskan walaupun pada aras yang paling tinggi. Secara keseluruhan pengalaman mendengar muzik dan juga ketika menonton video sangat baik. Ini merupakan satu peningkatan jika dibandingkan dengan kualiti audio pada Mate 30 Pro terdahulu.
Secara keseluruhan, kualiti dan bahan binaan telefon ini adalah sangat sesuai untuk sesebuah telefon mercu. Namun tidak dilupakan, ia merupakan sebuah telefon yang sangat besar. Dari segi genggaman, paparan sisi yang melengkung tersebut secara tidak langsung memberikan pegangan yang lebih kemas untuk pengguna.
Paparan
Huawei membuat keputusan masih lagi meneruskan tradisi paparan air terjun melengkung ekstrem ini. Ada sebab mengapa Samsung tidak lagi menggunakan paparan jenis ini disebabkan dari segi praktikalnya, ia bukan sesuatu yang diperlukan melainkan hanya atas alasan aestatik semata-mata.
Hanya dengan melihat terus skrin dari hadapan, anda akan melihat bayang-bayang atau warna yang berubah pada bahagian tepi kiri dan kanan akibat lengkungan ini. Ia memberikan pengalaman menonton video yang sedikit cacat kerana berubah bentuk.
Dari sisi baiknya, anda tidak akan mengalami sentuhan secara tidak sengaja pada bahagian sisi. Model-model sebelum ini juga sudah menyelesaikan masalah sentuhan tidak sengaja pada bahagian sisi, jadi ia tidak mengejutkan melihatkan perkara ini pada Huawei Mate 40 Pro. Secara tidak langsung anda boleh menggenggam telefon tanpa perlu risau isi kandungan berubah akibat sentuhan secara tidak sengaja.
Beralih kepada paparan sebenar, bezel atas dan bawah tidaklah senipis mana namun apa yang paling ketara adalah modul swafoto yang seakan lebih besar dari sepatutnya.
Walaupun sebenarnya ada 2 unit lensa pada modul ini iaitu 13MP dan juga sensor TOF 3D, kami seakan melihat panjangnya seperti memuatkan 3 buah unit lensa.
Jika dibandingkan secara skala besar modul kamera swafoto tersebut dengan saiz badan telefon, ia tidaklah terlampau besar. Cuma kami merasakan apa keperluan Huawei Mate 40 Pro meletakkan saiz lubang kamera sebesar itu.
Huawei Mate 40 Pro membawakan skrin sebesar 6.76 inci dengan resolusi 1344 x 2772 pixel. Resolusi ini sebenarnya adalah hampir sedikit sahaja kepada QHD dengan kepadatan pixel sebanyak 456 ppi.
Huawei Mate 40 Pro membawakan skrin sebesar 6.76 inci OLED dengan resolusi 1344 x 2772 pixel. Resolusi ini sebenarnya adalah hampir sedikit sahaja kepada QHD dengan kepadatan pixel sebanyak 456 ppi.
Melalui pengalaman, skrin cukup terang untuk kegunaan pada waktu siang yang cerah selain mempunyai kejituan warna yang tinggi.
Panel skrin Huawei Mate 40 Pro dimuatkan dengan kadar segar semula 90Hz. Ini masih lagi merupakan kepantasan skrin yang sama pada siri Huawei P40 tahun ini dan mereka masih belum lagi membuat lonjakan kepada 120Hz.
Walau bagaimanapun, 90Hz ini lebih dari mencukupi disebabkan kualiti panel OLED yang sangat baik. Menggunakan antaramuka sangat lancar namun itu mungkin disebabkan oleh cip pemprosesan Kirin 9000nya yang berkuasa. Hal cip kita akan ulas pada bahagian selanjutnya.
Kamera
Huawei Mate 40 Pro kini mengembalikan semula lensa periskop yang tiada pada Mate 30 Pro. Secara tidak langsung ia bermaksud kualiti pada prestasi zum adalah lebih baik berbanding sebelumnya.
Namun sebelum itu, mari kita bincangkan dulu mengenai rekaan modul kamera Mate 40 Pro ini. Bercakap mengenai perkara objektif terlebih dahulu, telefon ini masih lagi menggunakan rekaan bulat sebagai perletakkan modul kameranya namun berbanding unit kamera didalam bulatan, kini ia diletakkan secara mengelilingi pula.
Teks Leica yang berada di luar juga telah dimasukkan ke dalam bulatan menjadikan ia lebih teratur. Huawei menggunakan panel kaca berwarna hitam pada bulatan kamera. Ini memberikan rupa garang dan kontra menyerlahkan rekaan unik ini yang juga boleh dikatakan seperti sebuah iPod Apple.
Dari segi bonggol modul, ia agak besar, namun tidak sebesar yang pernah saya jumpa seperti pada POCO X3 NFC. Secara kasar, rekaannya mempunyai DNA yang sama seperti Mate 30 Pro namun sedikit perubahan pada perletakan unit kamera ini memberikan rupa yang segar dan menarik dipandang untuk sebuah telefon yang baharu.
Huawei Mate 40 Pro didatangkan dengan 4 lensa kamera iaitu 50MP(f/1.9) utama + 12MP(f/3.4) periskop zum 5X optikal + 20MP(f/1.8) sudut lebar.
Memang anda akan melihat seperti ada 4 unit kamera, namun sebenarnya ada 3 sahaja kerana satu lagi itu adalah sensor suhu warna.
Terlebih dahulu, perlu diingatkan Huawei Mate 40 Pro adalah merupakan telefon dengan kamera terbaik pernah dinilai oleh DxOMark dengan skor sebanyak 136.
Jadi, sesampai-sampai sahaja di pejabat Wiser, memang terus kami uji kamera untuk melihat dan menghakimi apa sebenarnya yang DxOMark nampak pada kamera telefon ini.
Secara jujurnya pada Mate 30 Pro terdahulu pun kameranya sudah cemerlang, jadi kami tidak mengharapkan sesuatu yang mengecewakan pada Mate 40 Pro ini.
Satu perkara yang saya suka pada Mate 40 Pro ini adalah prestasi HDR yang sangat bagus dan juga pasca pemprosesan dramatik yang seakan pada telefon Google Pixel.
Jika anda menghala telefon ini kepada sesuatu objek yang dibelakangi oleh cahaya matahari, anda akan merasa sangat puas hati bagaimana kamera cuba untuk mencerahkan gambar namun pada masa yang sama memastikan bayang masih tidak terlalu gelap.
Satu kelemahan nyata yang saya rasa pada kamera utama Mate 40 adalah kameranya tidak ada cara untuk melihat janaan HDR secara masa nyata.
HDR masa nyata merupakan satu fungsi yang sudah dipopularkan oleh iPhone sejak iPhone 11 dan juga Pixel melalui siri Pixel 4.
Apa yang terjadi adalah anda akan diberi gambaran bagaimana gambar akan diproses dan boleh menilai sama ada gambar dengan HDR masa nyata itu berbaloi untuk diambil dijadikan kenangan atau tidak.
Ini merupakan salah satu gambar sampel yang saya jadikan sebagai contoh untuk perkara ini. Disebabkan ketiadaan HDR masa nyata, saya tidak tahu bagaimana gambar yang bakal diproses. Namun, setelah menerima suntikan HDR, saya agak teruja dan kagum dengan pemprosesan HDRnya sedangkan apa yang saya lihat di depan mata hanyalah sesuatu yang biasa-biasa sahaja.
Jadi, jika ada HDR masa nyata, sudah tentu pakej kamera yang dilengkapi pada Mate 40 Pro ini lebih menarik dan juga setanding dengan apa yang ditawarkan oleh telefon pesaing seperti Apple dan Google.
Satu lagi aspek yang mengujakan apabila bermain dengan Night Mode. Seperti menghalakan ke matahari apabila HDR, apabila tiba waktu malam dan nampak pelbagai pencahayaan terutamanya lampu kedai tomyam, buka sahaja Night Mode dan anda akan saksikan magisnya.
Durasi mengambil gambar Night Mode pada Mate 40 Pro adalah bergantung kepada sebanyak mana cahaya yang diterima oleh lensa. Jika terlalu gelap, ada masanya ia akan mengambil gambar selama 9 saat lamanya. Pada masa ini memang sukar jugalah untuk memastikan telefon yang dipegang ditangan kekal stabil tanpa gegar. Jadi, lagi panjang Night Mode yang diambil, lagi tinggilah kemungkinan untuk gambar bergegar.
Salah satu elemen yang Mate 40 Pro berjaya menarik hati saya adalah dari segi warna pada waktu malam. Tidak dinafikan warna yang diterjemahkan oleh pasca pemprosesan telefon sangat cantik dan menggiurkan. Gambar dilihat sangat meriah lagi-lagi jika anda menangkap gambar yang mempunyai pelbagai sumber cahaya.
Saya tidak tahu dan tidak pasti sebanyak manakah pengaruh sensor warna yang menyumbang kepada bagaimana pemprosesan warna dilakukan. Namun, jika benar, mungkin saya setuju ini merupakan sensor yang legit.
Selain dari itu, kami juga memberikan perhatian kepada prestasi zum kamera Mate 40 Pro. Ia boleh zum sehingga 50X, tetapi tak payahlah zum sampai 50x disebabkan kebiasaannya gambar bukan boleh pakai pun. Ia pecah-pecah kerana zum digital.
Namun, prestasi zum sebenar boleh dinikmati hanya setakat 10x kali sahaja menggunakan lensa periskop. Jika anda menarik zum dari pada 1X hingga ke maksimum zum 50X, anda akan mendapati bahawa bermula pada aras 15X zum pula, anda akan mendapati viewfinder zum akan ditambah yang memaparkan di manakah kawasan yang anda fokus dalam sesuatu imej.
Melalui lensa sudut lebar pula, anda akan mendapati prestasi HDR cukup memuaskan. Mungkin satu kelemahan adalah ia sedikit gelap disebabkan bukaan aperture yang rendah, namun jika dibandingkan dengan telefon pesaing, Mate 40 Pro boleh jadi antara telefon dengan sudut lebar terbaik.
Video bukanlah kekuatan utama Mate 40 Pro disebabkan penstabilan dilihat seperti robot dan tidak kemas. Namun, dari segi perincian, ia sangat mencukupi dengan kualiti mikrofon yang sedap. Maksimum resolusi rakaman adalah 4K pada 60fps akan tetapi jika anda merakam pada resolusi ini, maksimum rakaman durasi yang boleh dirakam adalah sehingga 10 minit.
Perisian
HMS adalah subjek utama perbincangan. Tetapi sebelum itu, mari berkenalan terlebih dahulu dengan antaramuka yang diletakkan pada Mate 40 Pro.
Huawei Mate 40 Pro menjalankan EMUI 11 yang berasaskan Android 10. Tiada servis Google di sini namun itu bukannya berita baru. Apa yang menggantikannya adalah Huawei Mobile Services yang bertindak selaku rangka perisian menggantikan Google.
Antara sorotan utama EMUI 11 adalah kehadiran ciri Air Gesture yang boleh menavigasi telefon tanpa menyentuh skrin. Selain itu, bahagian perisian turut menyokong kewujudan paparan melengkung melimpah keluar ini dengan mod Multi-Window untuk memudahkan pengguna membuka lambakan aplikasi sekaligus.
Jika anda merasakan paparan lubang dan juga sisi limpah skrin yang menjengkelkan, anda boleh mengaktifkan mod Cutout dan juga Edges untuk lebih selesa menggunakan telefon.
Beralih kepada penggunaan aplikasi secara keseluruhan di Huawei App Gallery, semakin banyak aplikasi penting yang ditawarkan seperti MySejahtera, Maybank2u dan sebagainya. Seperti dijangka, jika tiada aplikasi yang dicari, anda boleh mencarinya melalui Petal Search dan memasangnya secara APK. Melalui Petal Search juga anda boleh memasang aplikasi seperti Netflix, Instagram, WhatsApp dan lain-lain.
Namun sayangnya, untuk aplikasi Netflix, masih tiada lagi sokongan HDR dan juga HD menjadikan resolusi tinggi pada telefon ini seakan membazir sahaja.
Ketiadaan aplikasi utama Google seperti Google Photos, Google Drives, dan Google Docs sedikit sebanyak membantutkan penggunaan kerana saya aktif menggunakan aplikasi-aplikasi sebegini dan sangat bergantung kepadanya.
Namun, edisi HMS pada Mate 40 Pro ini adalah lebih baik berbanding Mate 30 Pro kerana ekosistem ‘tanpa Google’ yang lebih memuaskan dengan sokongan aplikasi yang lebih banyak dan ciri Petal Search yang lebih memudahkan.
Saya merasa tertarik untuk mengulas mengenai antaramuka Huawei App Gallery yang saya rasa masih memerlukan suntikan rekaan yang lebih segar. Walaupun ia berfungsi dengan sepatutnya iaitu untuk memasangkan aplikasi, App Gallery dilihat mempunyai rekaan yang terlalu ringkas memimikkan seperti sebuah gudang aplikasi ketiga rawak yang dimasukkan ke dalam telefon.
Aplikasi juga tidak boleh dikemaskini secara automatik seperti Play Store. Ia perlu dilakukan secara manual dan juga satu persatu. Ia sedikit leceh kerana kebanyakan aplikasi sekarang sering hadir dengan pelbagai kemaskini tiap hari untuk penambahan fungsi baharu.
Secara keseluruhan, HMS masih banyak lagi ruang penambahbaikan namun progres yang ditunjukkan berbanding Huawei Mate 30 Pro membuatkan HMS pada Mate 40 Pro ini satu pengalaman naik taraf yang dirasakan sangat baik. Boleh dikatakan pengguna biasa yang mahu menggunakan telefon Huawei dengan HMS dari servis Google biasa akan kurang keluhan dan rintihan ketika menggunakannya.
Prestasi
Siri Huawei Mate 40 dikuasakan oleh cip Kirin 9000 yang merupakan telefon pertama dengan cip ini. Dari segi teknologi yang digunakan, cip ini masih lagi menggunakan teras dari Cortex A77 yang setanding dengan Snapdragon 865/865+ dan bukannya teras Cortex-A78 yang lebih berkuasa.
Kami tidak boleh untuk menguji telefon ini pada aplikasi ujian ukur aras disebabkan masalah pemasangan yang berkaitan dengan HMS sendiri. Namun, terus terang, ia merupakan cip yang pantas dengan prestasi grafik yang sangat baik setanding dengan apa yang Snapdragon tawarkan melalui 865 mereka.
Sehubungan dengan itu, kami menguji prestasi cip ini dengan memainkan beberapa permainan seperti Mobile Legends, PUBG Mobile, dan Asphalt 9. Namun begitu masih tidak banyak permainan popular yang ada di Huawei AppGallery seperti League of Legends: Wild Rift ataupun Call of Duty Mobile membuatkan kami hanya menguji apa yang ada sahaja.
Asphalt 9 masih belum mempunyai ciri 60fps untuk Mate 40 Pro, namun dari segi permainan, ia masih menawarkan kualiti visual yang tinggi.
Beralih ke PUBG Mobile dan Mobile Legends, kedua-dua telefon menawarkan prestasi permainan bertaraf mercu dengan visual yang memuaskan. Ketika bermain, tiada pula rasa panas yang tidak selesa dirasakan.
Secara keseluruhan, aspek prestasi bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan dengan Mate 40 Pro. Saya setuju cip ini tiada bezanya seperti menggunakan telefon dengan Snapdragon 865+ dari Qualcomm. Sama pantas dan tiada rasa lengah masa yang menjejaskan penggunaan telefon.
Bateri
Huawei Mate 40 Pro mempunyai 4,400mAh kapasiti bateri. Ia tidak besar mana jika dibandingkan dengan saiznya dan pada masa yang merupakan sedikit turun taraf berbanding Mate 30 Pro yang mempunyai 4,500mAh.
Naik taraf utama aspek baterinya adalah dari segi pengecasan pantas yang kini selaju 66W berwayar Huawei SuperCharge dan juga 50W tanpa wayar.
Melalui pengecasan 66W, telefon mengambil masa selama 45 minit untuk penuh. dan 87% pada 30 minit mengecas. Pengecas 66W ini sememangnya sudah ada disertakan dalam kotak namun untuk pengecasan tanpa wayar 50W, ia tidak disertakan jadi kami tidak pasti berapa pantaskah mengecas jika menggunakannya.
Mate 40 Pro dengan senangnya merupakan telefon dengan penggunaan 2 hari. Baterinya tahan lama yang mana jika mengikut SOT mencecah sehingga 11 jam walaupun menggunakan paparan 90Hz setiap masa. Jika anda menukar tetapan kepada 60Hz, sudah semestinya ia akan bertahan lebih lama.
Rumusan
Tidak dinafikan Huawei Mate 40 Pro merupakan iterasi terbaik pakej HMS dalam sebuah telefon mercu Huawei yang terbaik setakat ini. Walaupun HMS masih terdapat kekurangan nyata secara spesifiknya dalam menggantikan Google sebagai sebuah tunjang utama penggunaan sebuah telefon pintar, bagi saya Mate 40 Pro lebih yakin untuk digunakan dengan aplikasi dalam App Gallery yang semakin ditambah dan juga fungsi seperti Petal Search yang banyak membantu jika mahu memasang aplikasi.
Sejujurnya untuk pengguna yang gemar mencari permainan mudah-alih terbaharu, App Gallery masih lagi kekurangan dalam menyediakan permainan yang bermutu setaraf dengan apa yang Play Store tawarkan. Buat masa ini, mungkin fokus pembangun diberikan terhadap permainan dan aplikasi utama terlebih dahulu baru kemudiannya baru yang lain muncul.
Aspek kamera merupakan perkara yang paling menyeronokkan apabila menggunakan Mate 40 Pro ini. Prestasi gambar secara keseluruhan sangat menggagumkan dan sebagai sebuah telefon mercu, ini adalah prestasi dan kualiti kamera yang sangat saya harapkan.
Namun apabila bercakap mengenai video, ia masih lagi perlu penambahbaikan memandangkan penstabilannya kurang lancar dan bergerak seperti robot.
Saya masih tidak menyukai paparan melimpah melengkung yang memberikan pengalaman menonton video sedikit aneh. Prestasi telefon dengan menggunakan Kirin 9000 secara keseluruhan pula sangat baik dan lancar. Ia tidak mendatangkan masalah terutamanya jika ada yang bertanyakan prestasi ketika bermain permainan.
Adakah berbaloi memiliki Huawei Mate 40 Pro? Soalan ini bergantung kepada aplikasi apakah yang anda gunakan dalam seharian dalam sesebuah telefon pintar. Secara asasnya Mate 40 Pro merupakan telefon yang lengkap untuk dijadikan sebagai telefon pintar seharian, namun jika anda mengorek lebih dalam lagi seperti permainan yang diminati dan juga aplikasi penting seperti CIMB Clicks (contohnya) yang tidak wujud di HMS, anda mungkin akan mendapati seakan mustahil untuk menggunakan telefon ini.
Sebenarnya jika anda sudah sedia maklum dengan kelemahan Mate 40 Pro dan mahu memiliki telefon ini pun, ia masih belum dijual secara rasmi di Malaysia. Tarikh pengenalannya di sini juga masih belum diumumkan oleh pihak Huawei, jadi kami sendiri pun tidak tahu bilakah ia akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan.
Kelebihan
- Rekaan premium dengan kemasan yang menarik
- Tiada lagi butang maya, digantikan dengan butang fizikal pada sisi telefon.
- Kehadiran semula pembesar suara pada bahagian atas serta audio jenis stereo untuk pengalaman mendengar yang lebih mengasyikkan.
- Prestasi kamera dan kualiti gambar yang sangat baik terutamanya HDR dan Night Mode.
- Ketahanan bateri yang memuaskan mencapai 2 hari penggunaan.
- Prestasi Kirin 9000 setanding dengan mana-mana telefon pintar mercu lain.
- Petal Search sedikit sebanyak memudahkan pencarian dan pemasangan aplikasi.
Kekurangan
- Huawei App Gallery masih memerlukan banyak aplikasi dan permainan untuk menarik minat pengguna menggunakannya.
- Lengkungan pada sisi skrin kurang praktikal dalam penggunaan seharian.
- Pentasbilan rakaman video yang sedikit mengewakan.
- Kemaskini aplikasi perlu dilakukan secara manual dan satu persatu.
- Netflix masih lagi tiada sokongan HDR dan juga HD.