Ray Tracing? Apa Tu Dan Kenapa Baru Sekarang Muncul? Mari Lihat Teknologi Yang Menjadi Sebutan Sekitar Pelancaran Kad Grafik NVIDIA RTX

Ray Tracing (RT) merupakan satu terma yang bukan baharu dalam dunia perfileman Hollywood. Ini kerana teknologi ni sudah wujud sebelum ini dalam menghasilkan animasi-animasi 3D filem Hollywood seperti Monster University oleh Studio Pixar.

RT ialah teknik pencahayaan yang akan meniru sumber cahaya di dalam permainan dan memaparkan efek cahaya tersebut ke objek/subjek yang akan disinari cahaya tersebut. Kad grafik generasi sebelum ini (Pascal) menggunakan teknik rasterisasi (rasterization) yang menggambarkan objek dalam dunia vektor dan menukarnya ke imej raster (lengkap dengan piksel) kemudian dihantar ke paparan. Teknik rasterisasi ini bagaimanapun hanya menukar objek/subjek yang hanya terdapat di dalam bingkai yang sedang digunakan dan tidak melibatkan objek/subjek yang terlindung.

RT pula dapat mereplikasikan pelbagai sumber cahaya seperti global, buatan dan persekitaran yang sebelum ini memerlukan kerja khusus buat pembangun untuk melakukannya. Dengan teknologi yang terhad, kebanyakkan pembangun permainan mengabaikan aspek pencahayaan yang tepat di dalam permainan mereka. Untuk melihat dengan lebih lanjut mengenai efek cahaya yang terhasil dari objek yang tersembunyi, lihat video persembahan Battlefield V oleh NVIDIA:

Kapsyen: Lihat saat ke 35 untuk lihat efek pencahayaan


https://youtu.be/7_VhGvUzA2k

Jadi mengapa NVIDIA mengatakan kad mereka yang pertama di dunia melalui RTX Quadro? Ini kerana teknik ray tracing sebelum ini memerlukan pelayan yang banyak dan berkuasa bagi memproses setiap bingkai imej satu persatu. Untuk studio perfileman 3D yang besar seperti Disney & Pixar, ia bukanlah satu masalah kerana kemampuan kewangan mereka untuk memiliki fasiliti tersebut. Teknologi RTX NVIDIA secara langsung mampu mengurangkan jurang yang lebar antara studio besar dan pembuat filem animasa 3D dari segi produksi kerana NVIDIA RTX Quadro berkemampuan menggunakan teknologi ray tracing pada kos yang boleh dikatakan murah.

Untuk peminat gaming pula, GeForce RTX dapat memberikan sekilas pandang mengenai teknologi RT ini dan dapat diaplikasikan dalam permainan terkini. NVIDIA juga tidak menyatakan dengan jelas RTRT atau Real Time Ray Tracing tidak disokong oleh kebanyakkan permainan yang dinyatakan oleh NVIDIA semasa pelancaran kad grafik NVIDIA GeForce RTX tempoh hari.



Senarai permainan yang menyokong RTRT adalah:

  • Assetto Corsa Competizione

  • Atomic Heart

  • Battlefield V

  • Enlisted

  • Justice

  •  JX3

  •  MechWarrior 5: Mercenaries

  •  Metro Exodus

  •  ProjectDH

  •  Shadow of the Tomb Raider


Teknologi RT untuk pengguna kebanyakkan masih belum berada di tahap yang matang dan perlukan masa dan teknologi yang lebih canggih bagi mengaplikasikan teknologi tersebut pada masa hadapan. Namun, ini merupakan langkah permulaan yang baik untuk NVIDIA memperkenalkannya ke industri dengan harapan lebih banyak pembangun atau pencipta kandungan dapat mendapat manfaat dari ray tracing ini.

Sumber: overclock3d.net, hothardware

Berkaitan