RAM Jenis LPDDR5, Bagus Manakah Ia Berbanding RAM LPDDR4X?

Antara ciri menarik yang terdapat dalam cip Snapdragon 865 adalah sokongan RAM LPDDR5 yang terkini. Jadi peranti seperti Xiaomi Mi 10 dan Samsung Galaxy S20 secara tidak langsung menyokong teknologi RAM ini.

Dengan RAM LPDDR5 ini, ia menggantikan teknologi LPDDR4X dan yang lebih lama iaitu LPDDR4 pada peranti-peranti sebelumnya. Namun sebagai pengguna yang ingin tahu, bagus manakah LPDDR5 ini? Berbanding LPDDR4X, elemen apakah yang dikemaskini dan dipertingkatkan?

Pengenalan


LPDDR5 merupakan generasi kelima teknologi RAM dalam telefon pintar. LPDDR adalah nama pendek kepada teknologi Low Power Double Data Rate. Versi RAM terbaharu ini telah diumumkan pada Februari 2019 oleh badan firma memori JEDEC (Joint Electron Device Engineering Council).

Kapsyen: Joint Electron Device Engineering Council (JEDEC)

Kelebihan RAM LPDDR5 - Jimat Tenaga


Dengan beralih kepada LPDDR5, teknologi ini lebih menjimatkan tenaga. Ia didorong oleh beberapa faktor seperti kuasa voltan yang rendah, efisiensi kuasa yang mengambil inspirasi dari memori GDDR5 dalam kad grafik, dan juga yang paling utama iaitu mod deep sleep terbaharu.

Kapsyen: Perbandingan penggunaan tenaga dari LPDDR2 ke LPDDR5 yang terkini.


 

Dengan mod deep sleep baharu ini, LPDDR5 menggunakan 50% tenaga lebih rendah ketika tidak bekerja (idle) berbanding LPDDR4X.

Secara keseluruhannya, JEDEC dan Samsung mendakwa dengan menggunakan RAM LPDDR5, modul RAM akan jadi 30% lebih jimat tenaga berbanding LPDDR4X. Untuk RAM keluaran Micron pula, mereka mendakwa penjimatan tenaga sebanyak 20% pula dari LPDDR4X ke LPDDR5.

Kelebihan RAM LPDDR5 - Kadar Penambahbaikan Data


LPDDR5 juga turut menambah baik kelajuan pindahan data. Untuk Samsung, RAM 12GB LPDDR5 mereka mempunyai kelajuan pada kadar 5500 Megatransfer setiap saat (MT/s). Ini adalah 30% lebih pantas dari memori jenis LPDDR4X (4266 MT/s).

Kapsyen: Kelajuan dan peningkatan RAM dari LPDDR sehingga LPDDR5


Buat masa ini, Samsung sedang membangunkan memori 16GB LPDDR5 pula. Ia dikatakan akan jauh lebih pantas dengan kadar pindahan 6400 MT/s.

Peranti manakah yang menyokong RAM LPDDR5?


Sokongan RAM LPDDR5 adalah bergantung dengan cip pemprosesan yang akan digunakan. Jadi buat masa ini, hanya cip Snapdragon 865 dan cip Samsung Exynos 990 yang menyokong teknologi ini. Kirin 990 5G, cip yang paling berkuasa dari Huawei malangnya tidak menyokong LPDDR5.

Untuk peranti yang menyokong RAM LPDDR setakat artikel ini ditulis :

  • Siri Samsung Galaxy S20

  • Siri Xiaomi Mi 10

  • realme X50 Pro 5G

  • Sony Xperia 1 II

  • vivo iQOO 3 5G


Kapsyen: Siri Samsung Galaxy S20 yang dilengkapi dengan RAM LPDDR5.


 

Secara rumusan, dengan menggunakan RAM jenis LPDDR5 yang terbaharu, bateri dan juga penggunaan memori lebih dipertingkatkan secara teorinya. Apa yang penting adalah bagaimana pengeluar boleh memanfaatkan dan mengoptimumkan kelebihan yang terdapat pada LPDDR5 ini.

Sumber: