Qualcomm Umum Cip Snapdragon 480 - Dilengkapi Sokongan 5G Dan Panel 120Hz

Qualcomm secara rasmi kini mengumumkan cip pemproses Snapdragon 480 5G, iaitu cip pertama dalam siri 4xx yang ditawarkan dengan sokongan rangkaian 5G untuk peranti kelas permulaan.

Snapdragon 480 dilengkapi integrasi modem Snapdragon X51 yang menyokong kedua-dua rangkaian mmWave dan Sub-6GHz.

Snapdragon 480 5G

Hadir dengan binaan 8nm, ia dimuatkan dengan gabungan CPU Kryo 460 yang mempunyai kelajuan sehingga 2.0GHz, GPU Adreno 619 dan cip Hexagon 686. Qualcomm menyatakan, Snapdragon 480 mempunyai peningkatan prestasi sehingga 100% dari segi GPU dan CPU, serta 70% peningkatan prestasi bagi tugasan AI berbanding generasi sebelumnya.

Selain itu, ia turut menyokong Quick Charge 4+, panel 120Hz dengan resolusi Full HD+ dan sebagainya. Dari segi rakaman, ia mempunyai keupayaan untuk merakam gambar sehingga 64MP.

Antara lainnya adalah sokongan Wi-Fi 6, Bluetooth 5.1, storan berasaskan UFS 2.2 dan lain-lain.

Sementara itu, telefon pintar pertama dengan janaan cip Snapdragon 480 5G dijangka akan dilancarkan pada suku pertama 2021. Nokia, OnePlus, vivo, OPPO dijangka menjadi pengeluar terawal yang akan menggunakan cip ini.

Sumber: Qualcomm