Prestasi 'Gaming' Exynos AMD Tak Padu Macam Snapdragon Tapi Tak Panas

Awal bulan ini, Samsung telah melancarkan barisan terbaharu siri Galaxy S22. Selain S22 Ultra yang kini sudah menyerupai Galaxy Note, seperkara menarik lagi cip Exynos 2200 yang hadir dengan GPU AMD.

Disebabkan itu, pasti ramai yang ingin mengetahui sejauh mana prestasi gaming pada peranti tersebut memandangkan sebelum ini banyak laporan mengatakan ia berkuasa.

Oleh yang demikian, Golden Reviewer tampil mengambil peluang untuk mengujinya dalam "dunia sebenar".

Terdahulu, beliau telah membuat ujian prestasi gaming Snapdragon 8 Gen 1 menerusi Motorola Edge X30 di mana ia tewas dengan iPhone 13 Pro Max yang dijana cip A15 Bionic.

Melalui ujian prestasi terbaharu yang dilakukannya, S22 Ultra yang dikuasakan Exynos 2200 dengan GPU Xclipse 920 RDNA 2 gagal menepati jangkaan.

Apabila memainkan permainan video Genshin Impact, purata kadar bingkai (FPS) S22 Ultra hanya 30.2 fps dan boleh menurun serendah 16 fps.

Sebagai perbandingan, purata kadar bingkai Snapdragon 8 Gen 1 pada peranti Motorola terdahulu adalah sebanyak 46 fps. Manakala A15 Bionic pula 48 fps.

https://www.youtube.com/watch?v=-TnFT3AnNo0

Meskipun kadar bingkai tidak cukup memberangsangkan, cip Exynos 2200 jauh lebih efisien berbanding Snapdragon 8 Gen 1. Cip Exynos secara purata hanya menggunakan kuasa 4.4W. Sementara Snapdragon pula 7.7W walaupun kelajuan CPU dikurangkan (throttling).

Kata Golden Reviewer, cip Exynos 2200 memang stabil sejak dari awal hingga penghujung permainan Genshin Impact.

Tambahan lagi, suhu S22 Ultra hanya menerima suhu maksimum 41.0 °C. Beliau turut mengatakan S22 Ultra merupakan antara peranti paling sejuk yang pernah diujinya, termasuk iPhone.

Menerusi ujian prestasi awal ini, boleh disimpulkan bahawa Exynos 2200 mungkin tidak sebaik Snapdragon 8 Gen 1 dari segi prestasi. Namun, cip ini tidak dahagakan tenaga dan lebih efisien.

Selain itu, ia juga masih awal lagi memandangkan Samsung mungkin akan sentiasa mengemaskini perantinya agar lebih baik. Malah, dikatakan juga, berkemungkinan Genshin Impact ini belum dioptimumkan lagi buat peranti terbaharu Samsung itu.

Apa-apa pun, bukan semua individu di dunia membeli telefon semata-mata untuk bermain permainan mudah alih.

Sumber: golden reviewer

Baca juga: