Prasarana Perkenal Pas OKU Smile Untuk Perjalanan Percuma

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) kini memperkenalkan pas langganan OKU Smile untuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).

Melalui pas ini, komuniti OKU boleh menikmati tambang percuma bagi semua perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana.

{suggest}

Jelas Prasarana, pas ini adalah untuk semua pemegang Kad Konsesi OKU Prasarana sedia ada dan pemohon baharu.

Pengaktifan dan permohonan baharu pas OKU Smile boleh dibuat mulai hari ini, 15 Januari 2024. Sementara penggunaannya bermula 1 Februari 2024. Untuk mengetahui kriteria langganan pas OKU Smile, teruskan bacaan selanjutnya.

Pemegang Kad Konsesi OKU Prasaranan sedia ada


Pemegang Kad Konsesi OKU Prasarana sedia ada boleh terus melanggan atau mengaktifkan pas OKU Smile di mana-mana kaunter Rapid KL, LRT, MRT, Monorel, BRT dan hab bas terpilih di bawah:

  • Hab Bas Rapid KL: Pasar Seni, Chow Kit, KLCC, Sri Nilam, Puchong Utama, Pearl Point, Sunway Pyramid, Greenwood dan Seksyen 2 Shah Alam.

  • Hab Bas Rapid Penang: Ibu Pejabat Rapid Penang (Lorong Kulit), Terminal Bas Weld Quay, Komtar, Bukit Jambul, Balik Pulau, Bukit Mertajam, Kompleks Dato Kailan Kepala Batas dan Penang Sentral.

  • Hab Bas Rapid Kuantan: Hentian Bandar Kuantan.


Untuk menggunakan pas ini, pengguna perlu memastikan kad mempunyai baki minima RM5.

Bagi pemegang kad yang telah tamat tempoh, permohonan baharu perlu dilakukan untuk mendapatkan kad baharu.

Permohonan baharu Kad OKU Smile


Pengguna yang belum mempunyai Kad Konsesi OKU Prasarana atau sudah tamat tempoh perlu membuat permohonan baharu. Permohonan boleh dibuat melalui kaunter pendaftaran seperti berikut:

  • Rapid KL: Hab Pasar Seni atau Stesen MRT Conlay (MRT Laluan Putrajaya).

  • Rapid Penang: Ibu Pejabat Rapid Penang (Lorong Kulit), Terminal Bas Weld Quay, Komtar, Bukit Jambul, Balik Pulau, Bukit Mertajam, Kompleks Dato Kailan Kepala Batas dan Penang Sentral.

  • Rapid Kuantan: Terminal Hentian Bandar.


Bagi tujuan pengesahan, pemohon perlu membawa bersama kad pengenalan dan kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajika Masyarakat (JKM). Proses pengeluaran kad di kaunter mengambil masa 10 hingga 15 minit.

Selain di kaunter, pengguna Rapid KL dan Rapid Kuantan boleh memohon secara dalam talian menerusi laman web www.myrapid.com.my. Pemohon perlu memuat naik salinan kad pengenalan, kad OKU JKM dan gambar berukuran passport berlatar belakang warna putih atau biru serta memilih lokasi pengambilan kad konsesi.

Permohonan yang lengkap akan diproses dalam tempoh tiga hari bekerja. Bayaran RM5 akan dikenakan bagi kos pengeluaran kad, yang mana nilai tersebut akan dikreditkan ke dalam kad.

Baki minimum RM5 juga perlu dikekalkan bagi membolehkan pemegang kad OKU Smile menggunakan pas ini.

Untuk maklumat lanjut berkaitan pas OKU Smile, layari laman web www.myrapid.com.my atau di platform media sosial Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan. Bagi sebarang pertanyaan, pengguna juga boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL 03-7885 2585; Rapid Penang 04-255 8000 atau Rapid Kuantan 09-5663686/019-3858607.

Sumber: MyRapid