Perbandingan Spesifikasi Antara Vivo iQOO, Xiaomi Black Shark Helo Dan Nubia Red Magic Mars

Sub-jenama baru dari Vivo, iQOO telah selamat dirasmikan semalam di China. Memfokuskan kepada permainan mudah alih, mari kita lihat perbandingan spesifikasi yang ditawarkannya dengan peranti dari pengeluar China lain seperti Xiaomi Black Shark dan Nubia Red Magic Mars.

Skrin paparan

  • iQOO - AMOLED 6.41 inci 1080 x 2340p

  • Black Shark Helo - AMOLED, 6.01 inci 1080 x 2160p

  • Nubia Red Magic Mars - IPS LCD 6 inci 1080 x 2160p


Cip pemproses

  • iQOO - Snapdragon 855

  • Black Shark Helo - Snapdragon 845

  • Nubia Red Magic Mars - Snapdragon 845


Memori

  • iQOO - RAM 6GB/128GB, RAM 8GB/128GB, RAM 8GB/256GB, RAM12GB/256GB

  • Black Shark Helo - RAM 6GB/128GB, RAM 8GB/128GB dan RAM 10GB/256GB

  • Nubia Red Magic Mars - RAM 6GB/64GB, RAM 8GB/128GB, RAM 10GB/256GB.


Kamera

  • iQOO - Tiga kamera belakang (12MP+13MP+2MP), kamera swafoto (12MP)

  • Black Shark Helo - Dwi kamera belakang (12MP+20MP), kamera swafoto (20MP)

  • Nubia Red Magic Mars - Kamera tunggal (16MP), kamera swafoto (8MP)


Bateri

  • iQOO - 4000mAh dengan pengecasan pantas 44W

  • Black Shark Helo - 4000mAh dengan pengecasan Quick Charge 3.0

  • Nubia Red Magic Mars - 3800mAh pengecasan pantas 16W


Sensor pengimbas cap jari

  • iQOO - Dalam paparan

  • Black Shark Helo - Belakang

  • Nubia Red Magic Mars - Belakang




Dilihat daripada luaran, Black Shark Helo dan Nubia Red Magic Mars tampil dengan rekaan yang menaikkan lagi ciri-ciri telefon pintar gaming seperti nyalaan LED. Sementara itu,  rupa paras iQOO tampak seperti telefon pintar flagship biasa.

Nubia Red Magic Mars mempunyai butang khas yang boleh digunakan untuk menyahaktifkan aplikasi latarbelakang, serta menyekat notifikasi untuk pengalaman permainan yang lebih baik lagi. Namun begitu, ia hanya dipasang dengan skrin LCD, dan pastinya dua peranti lain mampu memberikan paparan lebih baik menerusi skrin AMOLED.

Diantara ketiga-tiga peranti, hanya Black Shark Helo tidak mempunyai rekaan takuk pada skrin.

Dari dalam pula, iQOO lebih kehadapan dengan cip pemprosesan terkini iaitu Snapdragon 855 yang menjanjikan prestasi 45% lebih pantas Snapdragon 845. Bahagian memori juga, iQOO juga menawarkan kapasiti RAM yang lebih tinggi berbanding Black Shark Helo dan Nubia Red Magic Mars. Ketiga-tiga peranti turut disertakan dengan sistem penyejukan.

Walaupun mempunyai kapasiti bateri yang sama dengan Black Shark Helo, iQOO mampu mengecas penuh dalam masa 45 minit sahaja melalui pengecas 44W. Walaubagaimanapun, iQOO versi RAM 6GB/128GB dikatakan menggunakan teknologi pengecasan yang agak perlahan.

Black Shark Helo versi paling tinggi (RAM 10GB/256GB) dijual pengedar tempatan adalah pada harga RM2699, bagi Nubia Red Magic Mars pula harga bermula dari RM1499 hingga RM1899.

iQOO dilancarkan di China pada harga CNY2,998(~RM1,821) hingga CNY4,298(~RM2611).

Tidak dapat dipastikan sama ada Vivo Malaysia akan menawarkan iQOO untuk pasaran Malaysia atau tidak dan untuk itu, sama-sama kita nantikan.