Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Peranti Pilihan Wiser MY 2025

Posted on Disember 27, 2025Disember 26, 2025

Tahun 2025 menyaksikan persaingan peranti pintar yang semakin sengit, bukan sahaja dari segi spesifikasi, tetapi juga pengalaman penggunaan sebenar. Untuk Peranti Pilihan Wiser MY 2025, setiap pemenang dipilih berdasarkan ujian dalaman, penggunaan harian, serta nilai sebenar yang ditawarkan kepada pengguna di Malaysia.

Berikut ialah senarai penuh pemenang beserta sebab kenapa ia dipilih. Kesemua peranti boleh dibeli di – https://wiser.my/beli

Telefon Terbaik Tahun 2025

OPPO Find X9 Pro

OPPO Find X9 Pro merupakan naik taraf paling menarik daripada OPPO untuk tahun 2025. Peningkatan pada keupayaan fotografi sangat ketara, sehingga buat pertama kali kami melihat OPPO benar-benar mampu memberi saingan serius kepada vivo dalam kategori kamera.

Kualiti gambar yang dihasilkan sangat konsisten dan cantik, manakala rakaman video pula setaraf dengan peranti terbaik di pasaran. Untuk pengetahuan, video Peranti Pilihan Wiser MY 2025 ini dirakam sepenuhnya menggunakan Find X9 Pro, membuktikan keyakinan kami terhadap keupayaan kameranya.

ColorOS 16 pula tampil lebih stabil, matang dan diperkaya dengan ciri AI yang praktikal untuk kegunaan harian. Digabungkan dengan prestasi cemerlang serta sokongan kemas kini jangka panjang, OPPO Find X9 Pro sememangnya layak dinobatkan sebagai Phone of the Year Wiser MY 2025.

Telefon Tahan Lasak Terbaik

HONOR X9d

HONOR sememangnya terkenal dengan promosi ketahanan peranti mereka, dan HONOR X9d membuktikan ia bukan sekadar gimik. Sepanjang ujian kami, telefon ini benar-benar tahan lasak dalam pelbagai situasi penggunaan sebenar.

Bukan itu sahaja, ia turut hadir dengan bateri besar 8,300mAh, pengecasan pantas 66W berwayar, serta sokongan pengecasan berbalik 7.5W. Gabungan ketahanan fizikal dan daya tahan bateri menjadikan HONOR X9d pilihan terbaik dalam kategori ini.

Bateri Terbaik

HONOR X9d

Seperti yang disebut sebelum ini, HONOR X9d bukan sahaja besar kapasitinya di atas kertas, tetapi benar-benar tahan dalam penggunaan sebenar. Dalam ujian kami, peranti ini digunakan seharian penuh untuk tugasan berat seperti e-hailing (Grab) menggunakan data selular, dan masih berbaki sekitar 60% bateri pada waktu malam.

Jika anda seorang rider, pemandu e-hailing atau pengguna yang memerlukan telefon tahan lama tanpa risau bateri, HONOR X9d adalah antara pilihan paling praktikal untuk tahun 2025.

Flagship Terbaik

vivo X300

Kami memilih vivo X300 versi standard kerana ia menawarkan keseimbangan terbaik antara prestasi, kamera dan harga. Dengan prestasi flagship dan sistem kamera yang mantap, ia memberikan pengalaman premium tanpa harga yang terlalu tinggi.

Kehadiran OriginOS juga memberi nafas baharu kepada ekosistem vivo di Malaysia. Pada harga bawah RM4,000, vivo X300 membuktikan anda tidak perlu membayar mahal untuk mendapatkan pengalaman flagship yang baik pada tahun 2025.

Gambar Terbaik

OPPO Find X9 Pro

Sebelum ini, siri vivo X sering menjadi penanda aras fotografi mudah alih. Namun tahun ini, OPPO Find X9 Pro tampil lebih konsisten dan menepati jangkaan kami dalam pelbagai situasi fotografi.

Enjin imej OPPO Lumo ditala dengan sangat baik untuk Find X9 Pro, menghasilkan warna, perincian dan julat dinamik yang seimbang. Ini tidak bermaksud vivo X300 Pro menghasilkan gambar yang kurang baik, tetapi Find X9 Pro lebih menonjol secara keseluruhan.

Anda juga boleh menonton video battle OPPO Find X9 Pro vs vivo X300 Pro di saluran YouTube Wiser MY.

Video Terbaik

Apple, iPhone

iPhone 17 Pro

Untuk kategori video, pilihan ini mungkin sudah dijangka. Setiap tahun, iPhone kekal sebagai rujukan utama, dan iPhone 17 Pro meneruskan dominasi tersebut.

Walaupun OPPO Find X9 Pro dan vivo X300 Pro menghasilkan rakaman video yang sangat baik, iPhone 17 Pro mempunyai satu kelebihan unik tahun ini — Open Gate. Ciri ini membolehkan rakaman menggunakan keseluruhan sensor kamera, memberikan resolusi maksimum serta fleksibiliti tinggi untuk crop dan reframe.

Ciri ini direka untuk pembikinan video moden, membolehkan satu rakaman utama digunakan semula untuk platform seperti YouTube dan TikTok dengan mudah. Untuk mobile filmmaking, iPhone 17 Pro masih sukar ditandingi.

Telefon Gaming Terbaik

RedMagic 11 Pro

RedMagic 11 Pro ialah telefon gaming sebenar tanpa kompromi. Ia dilengkapi sistem penyejukan menyeluruh termasuk liquid cooling, vapor chamber dan kipas terbina dalam.

Dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 bersama cip RedCore R4 yang dibangunkan sendiri, prestasi gaming adalah sangat stabil untuk sesi panjang. Paparan penuh tanpa lubang kamera pula menjadikan pengalaman bermain lebih imersif dan bebas gangguan.

Dengan harga bermula RM3,399, RedMagic 11 Pro menawarkan pakej gaming yang sukar ditandingi dalam kelasnya.

Tablet Terbaik

Huawei MatePad Pro 12.2” (2025)

Huawei MatePad Pro 12.2-inci 2025 hadir dengan skrin Tandem OLED PaperMatte Display, yang kami anggap sebagai antara paparan tablet terbaik dalam kelasnya.

Dari segi perisian, tablet Huawei kini menyokong pelbagai aplikasi termasuk aplikasi Google, menjadikannya lebih praktikal untuk pengguna harian. Pada harga RM3,599, ia turut disertakan papan kekunci dan M-Pencil generasi ketiga, sesuatu yang biasanya dijual berasingan oleh pesaing seperti Apple dan Samsung.

Telefon Lipat Terbaik

Google Pixel 10 Pro Fold

Pixel 10 Pro Fold antara peranti foldable yang paling dinantikan kemasukannya secara rasmi ke pasaran Malaysia. Walaupun spesifikasinya tidaklah terlalu hebat berbanding pesaing, kekuatan sebenar Pixel terletak pada optimisation.

Dalam kategori telefon lipat, pengalaman perisian dan pengoptimuman sangat penting, dan di sinilah Pixel 10 Pro Fold menyerlah. Ia membuktikan perbezaan antara telefon standard dan foldable yang benar-benar dioptimumkan.

Ulasan penuh boleh baca di SINI.

Telefon Nilai Terbaik

POCO F8 Ultra

POCO F8 Ultra ialah definisi sebenar telefon flagship mampu milik untuk tahun 2025. Ia menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 bersama cip VisionBoost D8, dipadankan dengan sehingga 16GB RAM LPDDR5x dan storan 512GB UFS 4.1.

Sistem penyejukan 3D Dual-layer IceLoop memastikan prestasi kekal stabil, manakala paparan AMOLED 6.9-inci 120Hz dengan kecerahan sehingga 3500 nits memberikan pengalaman visual yang premium. Pada harga bermula RM3,199, nilai yang ditawarkan memang sukar ditandingi.

Kolaborasi Kamera Terbaik

realme GT8 Pro × Ricoh

Banyak jenama bekerjasama dengan jenama kamera, tetapi kolaborasi realme GT8 Pro bersama Ricoh adalah yang paling berjaya tahun ini. Ia bukan sekadar gimik pemasaran, sebaliknya memberikan pengalaman fotografi yang benar-benar berbeza.

Hasil gambar yang dihasilkan mempunyai karakter warna yang mirip kamera Ricoh, menjadikannya unik berbanding pesaing lain. Untuk melihat potensinya dengan lebih jelas, anda boleh menonton video ulasan penuh di YouTube Wiser MY.

Gaming Handheld Terbaik

ROG Xbox Ally

ROG Xbox Ally ialah handheld gaming PC paling menyeronokkan untuk digunakan pada tahun 2025. Antara muka konsol yang kemas, prestasi yang memuaskan dan harga RM2,699 menjadikannya sangat berbaloi.

Bagi kebanyakan pengguna, versi standard sudah lebih daripada mencukupi tanpa perlu memilih versi X yang lebih mahal. Ia adalah gabungan terbaik dunia konsol dan PC dalam bentuk mudah alih. Ulasan penuh baca di SINI.

UI Terbaik

OriginOS 6

OriginOS 6 bukan sekadar sistem operasi baharu, tetapi pengalaman OS yang lebih menyeluruh. Ia menawarkan interaksi visual yang kreatif, prestasi yang stabil untuk jangka panjang, serta integrasi ekosistem kerja yang lancar.

Ditambah dengan ciri perlindungan privasi yang kukuh, peranti vivo dengan OriginOS benar-benar membawa pengalaman baharu kepada pengguna di Malaysia.

Rekaan Unik Terbaik

RedMagic 11 Pro

RedMagic 11 Pro mencipta sejarah sebagai telefon pintar pertama di dunia dengan sistem penyejukan cecair (liquid cooling) terbina dalam. Ia turut dilengkapi bateri besar 7,500mAh dengan pengecasan pantas 80W, kamera utama 50MP, serta rekaan belakang lut sinar rata tanpa bonggol kamera.

Bukan sahaja paparan hadapan penuh tanpa gangguan, bahagian belakangnya juga unik tanpa bonjolan kamera yang mana menjadikannya peranti dengan identiti reka bentuk paling berbeza pada tahun 2025.

Selesai, inilah senarai pemenang peranti pilihan kami untuk tahun 2025. Apa pendapat anda? Adakah ada peranti anda dalam senarai ini?

Apa-apa pun, selamat tahun baru dan kita jumpa lagi tahun hadapan.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress