Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
ROG Xbox Ally

(Ulasan) ROG Xbox Ally – Handheld PC Gaming Pertama Yang Buat Saya Rasa Macam Konsol

Diterbitkan Disember 5, 2025 oleh Amsyar Latif

Ringkasan Ulasan: ROG Xbox Ally

Wiser memberi ROG Xbox Ally skor 9/10. Harganya di Malaysia ialah RM2,699 semasa ulasan ini diterbitkan pada 5 Disember 2025.

Produk ROG Xbox Ally
Skor Wiser 9/10
Harga (semasa ulasan) RM2,699
Diulas oleh Amsyar Latif
Tarikh ulasan 5 Disember 2025

Kelebihan

  • Pengalaman konsol mudah alih yang sebenar dengan Xbox App sebagai pusat semua game
  • Prestasi sangat cemerlang
  • Aplikasi Xbox dioptimumkan untuk gamepad
  • Tanda “Optimised for Handheld” membantu memilih game yang dioptimumkan
  • Bateri tahan sekitar dua hingga tiga jam, sesuai untuk sesi gaming biasa
  • Visual cantik pada skrin 7 inci
  • Harga RM2,699 menawarkan nilai terbaik dalam kategori handheld gaming PC

Kekurangan

  • Masih sebuah PC, jadi isu tipikal Windows seperti game crash boleh berlaku
  • Banyak kemas kini perlu dibuat termasuk driver, Xbox App, perisian ROG dan Windows
  • Skrin IPS tidak cukup cerah dan tiada pilihan OLED
  • Tiada joystick Hall Effect, menjadikan risiko drift lebih tinggi dalam jangka panjang
  • Pengalaman keseluruhan masih tidak semudah konsol tulen seperti Xbox atau PlayStation

Beli di: Shopee · Lazada

ROG Xbox Ally ialah percubaan Asus dan Xbox untuk membawa pengalaman konsol ke dalam bentuk handheld Windows. Pada harga RM2,699, ia hadir sebagai pilihan yang lebih mampu milik berbanding versi X yang lebih premium.

Selepas lebih dua bulan menggunakannya, saya boleh kata ia sebuah mesin yang sangat menyeronokkan untuk gaming santai di mana saja. Tetapi bila kita sebut “Windows,” sudah tentu ada beberapa perkara yang mengingatkan kita bahawa ia masih sebuah PC, bukan konsol tulen seperti Xbox atau PlayStation.

Sebagai seorang gamer tegar yang memang bermain konsol (PS5, Xbox Series X), saya kongsikan pengalaman penggunaan, kelebihan, kelemahan konsol ini berbanding handheld lain yang saya pernah cuba seperti ROG Ally asal, Lenovo Legion Go dan MSI Claw.

Benar-benar Rasa Macam Konsol Mudah Alih

rog xbox ally

Bahagian paling memuaskan tentang ROG Xbox Ally ialah bagaimana ia memudahkan kita bermain. On, standby dan off memang sangat cepat.

Anda boleh sambung permainan sambil baring, sambil rehat selepas makan atau walau sekejap sebelum tidur. Berbeza dengan konsol biasa yang perlukan TV atau monitor, Ally ini sentiasa ready.

Aplikasi Xbox pada unit ini ialah nadi utama pengalaman konsolnya. Bila buka saja, anda terus masuk ke antara muka yang dioptimumkan untuk gamepad.

Semua game dari Xbox, Steam dan Epic dikumpulkan di satu tempat yang mesra pengguna. Anda hanya pilih game, tekan dan main (jangan lupa install game dulu). Untuk pengguna Xbox Game Pass Ultimate macam saya, ini satu bonus besar kerana ratusan game sedia dimuat turun bila-bila masa.

Benar, handheld lain pun ada buat perkara serupa tapi jujur saya katakan, tidak cukup baik. Apa yang dilakukan Asus dan Xbox jauh lebih cemerlang.

Satu ciri menarik yang saya suka ialah tanda “Optimised for Handheld.” Ia memberi keyakinan bahawa game akan berjalan dengan baik pada paparan 7 inci. Konsep ini sama seperti “Verified” pada Steam Deck. Dan kerana ini masih Windows, semua mod game masih berfungsi tanpa masalah.

Senyap, Stabil dan Cukup Berkuasa untuk Gaming Harian

Pada model standard, prestasinya sudah lebih daripada memadai. Saya banyak bermain dalam Performance Mode dan jarang mendengar kipas bising. Dalam mod Turbo, prestasi meningkat dengan ketara tetapi bunyinya masih terkawal. Untuk sebuah handheld kecil, ia sangat meyakinkan.

Ketahanan bateri sekitar dua hingga tiga jam lebih bergantung pada game. Bagi saya ini sudah mencukupi kerana sesi bermain biasanya tidak terlalu panjang. Setiap kali berhenti sekejap, anda boleh sambung cas dan ia memang mengecas dengan pantas.

Saiz skrin 7 inci membantu menyedapkan pengalaman kerana game story pada tetapan tinggi masih nampak cantik. Penggunaan DLSS atau AMD FidelityFX turut membantu meningkatkan ketajaman tanpa mengorbankan FPS. Untuk kebanyakan game story, 60fps stabil memang mudah dicapai.

Sesuatu yang ROG Xbox Ally Tiada

ROG Xbox Ally_3
ROG Xbox Ally_1

Satu kekurangan yang nyata pada ROG Xbox Ally ialah ketiadaan joystick Hall Effect. Pada zaman sekarang, banyak handheld dan controller premium sudah mula menggunakan teknologi ini kerana ketahanannya.

ROG Xbox Ally_2

Berikut ringkasan kelebihan Hall Effect joystick:

  • Tiada isu drift kerana sensor magnetik tidak melibatkan geseran mekanikal
  • Ketahanan lebih lama berbanding potentiometer biasa
  • Pergerakan lebih stabil dan lancar
  • Tidak perlu servis seperti bersihkan debu karbon
  • Prestasi konsisten walaupun penggunaan berat

Namun teknologi ini juga ada kelemahannya:

  • Deadzone kadang lebih besar daripada joystick biasa
  • Feel tengah kadang sedikit ringan atau kurang tepat bagi sesetengah pengguna
  • Kos lebih tinggi
  • Modul aftermarket kadang tidak sama 100 peratus dari segi spring, bentuk atau calibration
  • Ada risiko isu perisian tegar atau perlu calibration manual

Walaupun Hall Effect bukan ciri wajib, kehadirannya akan meningkatkan jangka hayat joystick dan mengurangkan masalah drift yang sering berlaku pada analog tradisional.

Pengalaman Windows Masih Membayangi Konsol Ini

ROG Xbox Ally_4
Pengalaman memegang konsol ini mirip ‘controller’ Xbox. Selesa, tak lenguh dalam tempoh permainan yang lama.

Inilah bahagian yang perlu diketahui sebelum membeli. Walaupun ia digambarkan sebagai handheld konsol Xbox, sebenarnya ia masih sebuah PC dalam bentuk kecil. Ini membawa beberapa isu tipikal Windows.

Pertama, game kadangkala crash. Ini bukan salah Asus atau Xbox sepenuhnya kerana masalah seperti driver, keserasian dan bug pada Windows memang sudah lama wujud pada PC gaming.

Selepas lebih dua dekad bermain konsol, saya jarang sekali alami game yang crash pada Xbox atau PlayStation. Tetapi di Windows, perkara ini masih berlaku walaupun tidak selalu.

Kedua, isu kemas kini. Ini salah satu perkara yang paling mengganggu. Ada saja yang perlu dikemas kini. Driver, aplikasi Xbox, perisian ROG, belum lagi Windows Update.

Kemas kini konsol biasanya hanya perisian tegar, game dan controller. Itu pun cepat dan tidak memeningkan. Pada Ally, prosesnya terasa lebih seperti menggunakan laptop gaming.

Ketiga, skrin IPS yang tidak begitu cerah. Panel IPS ini sebenarnya memang memadai, tetapi untuk handheld moden, pilihan OLED akan menjadi lebih menarik. Kontras lebih tinggi, warna lebih hidup dan hitam lebih pekat. Jika model masa depan menawarkan OLED, ia akan menjadi peningkatan yang besar.

Handheld Windows Terbaik pada Harga Ini

ROG Xbox Ally

Selepas diuji, saya boleh kata ROG Xbox Ally ialah handheld gaming PC paling seronok untuk digunakan pada tahun ini. Pengalaman konsolnya sangat kemas, prestasi memuaskan dan harga RM2,699 memang dianggap berbaloi. Malaysia juga antara negara terawal menerima model ini, sesuatu yang patut kita hargai.

Pada pendapat saya, untuk kebanyakan pengguna, model standard sudah cukup baik tanpa perlu membeli versi X yang berharga RM4,299. Jika ada bajet lebih dan mahukan prestasi lebih tinggi serta warna hitam premium, barulah model X wajar dipertimbangkan.

Secara keseluruhan, ROG Xbox Ally ialah konsol mudah alih terbaik yang pernah saya gunakan setakat ini. Ia gabungan konsol dan PC dalam bentuk yang mudah dibawa, mudah digunakan dan mampu memberikan pengalaman gaming yang memuaskan di mana saja.

Tidak hairanlah jika konsol Xbox akan datang hibrid PC dan konsol. Mungkin ROG Xbox Ally ini adalah satu petunjuk untuk masa depan konsol Xbox nanti.

Berkaitan

  • (Ulasan) ASUS ROG Ally - Jentera 'Gaming' Mudah Alih Power Tapi Belum Sempurna
  • (Ulasan) MSI Claw A1M - Bagus Tapi Ada Yang 'Lagi Bagus'
  • (Ulasan) Lenovo Legion Go S Windows 11 – Prestasi Biasa, Windows Masih Tak Mesra
  • Nak Rumah Selamat, Privasi Terjaga 24/7? Unifi Ada Penyelesaian Pintar

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Pulau Pinang Sedang Bangunkan Pulau Silikon, Bakal Tawar 220,000 Peluang Pekerjaan
  • 3 Headphone ANC Bawah RM200
  • Kadar Tambang ECRL Akan Diumumkan Menjelang Akhir Oktober - Operasi Disasar Bermula Pertengahan Disember
  • Tiket Tonton Filem Dan Teater Di Wilayah Persekutuan Dikecualikan Duti Hiburan
  • Belanjawan 2027: Belia Lengkapkan Jam Sukarelawan Layak Terima RM100 E-Dompet Secara 'One-Off'
  • Belanjawan 2027: Kerajaan Tambah 100,000 Langganan AI Percuma, Termasuk ChatGPT
  • TNB Labur RM15 Bilion Perkukuhkan Grid Nasional
  • Belanjawan 2027: NSRC Akan Bangunkan Aplikasi AI, Bantu Pengguna Semak Butiran Mencurigakan
©2026 WISER.MY