Peranti Pertama Menjalankan HarmonyOS Telah Dilancarkan

Pengumuman secara rasmi sistem operasi HarmonyOS pada minggu lalu yang lebih dikenali ramai dengan nama HongMeng OS, ia seterusnya disusuli pula dengan pengenalan peranti pertama yang akan menjalankan sistem operasi tersebut.

Berupa televisyen pintar yang dipanggil sebagai HONOR Vision dan HONOR Vision Pro, ia dilapor akan mula dijual dalam pasaran China bermula minggu hadapan.



Televisyen ini hadir dilengkapi dengan skrin sebesar 55 inci, cip Honghun 818, sokongan paparan 4K serta boleh digunakan sebagai hub bagi ekosistem rumah pintar.



Menariknya juga, ia turut menyediakan ciri kamera terangkat, membolehkan penggunaan untuk panggilan video. Kedua-dua variasi model akan dijual pada harga 3799 yuan (~RM2255) dan 4799 yuan (~RM2849).



 

Seperti yang dimaklumkan ketika mengumumkan HarmonyOS, ia akan digunakan pada platform yang lebih luas dari komputer hingga ke peranti pintar lain dan ketika ini, pengeluar akan memfokuskan kepada skrin pintar terlebih dahulu.