Pengguna Galaxy S20 Mungkin Tidak Akan Dapat Nikmati Paparan 120Hz Pada Resolusi Quad HD

Siri Galaxy S20 merupakan penawaran terkini Samsung yang buat pertama kalinya hadir dengan kadar segar semula 120Hz. Sebelum ini peranti-peranti mereka hanya dilengkapi dengan panel 60hz sahaja jadi perubahan ini sudah tentu sangat-sangat ditunggu oleh peminat Samsung.

Namun, walaupun pengguna boleh menikmati paparan 120Hz pada peranti S20, ia hanyalah terhad kepada resolusi Full HD sahaja dan bukannya resolusi fitrah peranti iaitu Quad HD. Ini bermakna pengguna perlu memilih sama ada resolusi tertinggi atau kadar segar semula tinggi dan bukan kedua-duanya sekali.

Peranti seperti OnePlus 8 Pro dan OPPO Find X2 Pro turut mempunyai spesifikasi panel sama dengan resolusi Quad HD dan 120Hz. Akan tetapi kedua-dua peranti ini mampu menukar resolusi Quad HD pada 120Hz. Ia seterusnya menimbulkan persoalan mengapa Galaxy S20 tidak mampu berbuat demikian.

Sebelum ini pengguna S20 mungkin hanya boleh berharap pada Samsung agar membaik pulih isu ini melalui kemaskini perisian peranti. Namun, rupa-rupanya Samsung mungkin tidak akan berikan 120Hz pada resolusi Quad HD disebabkan masalah limitasi perkakas.

Melalui data yang diperoleh dari AnandTech, terdapat perbezaan besar dari segi teknologi bagaimana peranti seperti OnePlus 8 Pro dan Galaxy S20 mencapai kadar segar semula 120Hz. Menurutnya, Galaxy S20 hanya menggunakan satu laluan Mobile Industry Processor Interface (MIPI) kepada pemacu paparan sedangkan OnePlus menggunakan dua laluan MIPI.

Dengan hanya menggunakan satu laluan MIPI, ia mengehadkan capaian 'tenaga' yang diperlukan untuk mencapai kedua-dua elemen 120Hz dan juga resolusi Quad HD. Dengan kata lainnya, kemaskini perisian kemungkinan besar tidak mampu menyelesaikan 'masalah' ini.

Jadi, kelihatannya pengguna S20 hanya terhad kepada pilihan 120Hz Full HD ataupun 60Hz Quad HD. Mari berharap agar Samsung tidak menimbulkan semula masalah ini pada peranti Galaxy S21 atau Note 20 yang akan datang. Untuk pengguna S20, harap bersabarlah ya.

Sumber: Anandtech

Berkaitan