Pengecasan MagSafe Pada iPhone 12 mini Adalah Lebih Perlahan Berbanding Model iPhone 12 Lain

Antara teknologi terbaharu yang diperkenalkan pada iPhone 12 adalah pengecasan MagSafe. Ia merupakan pengecasan berasaskan sistem magnetik  yang memudahkan pengguna mengecas telefon secara tanpa wayar.

Namun begitu, Apple dilihat sedikit 'memilih kasih' mengenai teknologi ini kerana tidak semua iPhone 12 mendapat layanan ciri MagSafe yang sama.

Menurut laman web Apple, hanya iPhone 12, iPhone 12 Pro, dan iPhone 12 Pro Max sahaja yang boleh mengecas MagSafe pada kelajuan 15W. iPhone 12 mini? Hanya 12W sahaja.

Namun begitu, Apple memperingatkan bahawa kelajuan mengecas telefon turut bergantung kepada peratus bateri, suhu, dan juga telefon itu sendiri.

Antara maklumat lain yang dinyatakan adalah jika aksesori Lightning seperti EarPod dipasang, kelajuan mengecas MagSafe akan direndahkan kepada 7.5W.

Sumber: Apple