Penduduk Tidak Perlu Bimbang Kedudukan Menara Telekomunikasi Berdekatan Kawasan Perumahan Mereka

Berikutan kegusaran penduduk risiko pancaran frekuensi radio menara telekomunikasi terhadap kesihatan mereka.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjawab dakwaan bahaya pembinaan menara telekomunikasi berdekatan kawasan perumahan.

SKMM memaklumkan bahawa tahap pancaran frekuensi radio dari menara telekomunikasi tidak berupaya memberikan risiko kesihatan kepada masyarakat sekitar termasuk golongan warga tua atau kanak-kanak.

SKMM menjelaskan, setiap pembinaan atau penempatan menara telekomunikasi dibuat mengikut garis panduan sedia ada termasuk jarak antara menara telekomunikasi dengan kawasan perumahan.

Kadar pancaran Frekuensi Radio Medan Elektromagnet (RF-EMF) dari menara telekomunikasi di negara ini adalah terkawal pada setiap masa iaitu di bawah had yang disyorkan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh International Commission on Non-Ionizing Radiation Protection (ICNIRP).

Menurut SKMM, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merumuskan, melalui kajian-kajian yang telah dilaksanakan terbukti bahawa pendedahan EMF oleh struktur pemancar telekomunikasi terhadap sistem biologi tidak menjejaskan kesihatan.

Fakta itu turut disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyatakan, tiada bukti saintifik yang meyakinkan untuk mengaitkan dakwaan risiko radiasi terhadap kesihatan daripada struktur pemancar telekomunikasi, jelasnya.

Menurut SKMM lagi, ujian tahap pancaran frekuensi radio (RF) kendalian Agensi Nuklear Malaysia (ANM) di seluruh negara juga mendapati radiasi di kawasan sekitar pemancar adalah amat rendah dan berada pada tahap selamat.

Oleh itu, SKMM meminta orang awam supaya merujuk kepada sumber yang sahih atau pakar bertauliah yang diiktiraf kerajaan Malaysia bagi mengelakkan salah faham berkenaan isu RF-EMF ini.

SKMM juga turut memberi jaminan, pihaknya sentiasa memantau pembinaan, penempatan serta tahap radiasi yang dihasilkan oleh pemancar komunikasi di Malaysia.