Di atas kawasan perkhemahan yang padat dengan pelarian di Gaza, turbin angin buatan sendiri yang diperbuat daripada logam terpakai dan sisa runtuhan berputar ditiup angin laut, membawa bekalan elektrik kepada penduduk Palestin yang sedang bergelut.
Di kem pelarian Khan Yunis di selatan Gaza, Kamal Al-Dabary, seorang bekas pelajar kejuruteraan, menggunakan kepakarannya untuk membantu keluarga pelarian yang, seperti kebanyakan penduduk Gaza, hidup tanpa akses terus kepada grid kuasa wilayah itu yang telah musnah.
Menurut Bank Dunia, lebih daripada 90 peratus kapasiti penjanaan dan pengagihan kuasa di Gaza telah musnah pada April 2026, kebanyakannya akibat serangan Israel yang memusnahkan rumah dan infrastruktur.
Sambil duduk di atas tanah, Dabary mengemaskan wayar elektrik, bahagian logam dan alatan asas di atas meja plastik.
Selepas memintas kabel dengan cermat dan mengujinya menggunakan multimeter, sebuah lampu kecil mula menyala diikuti sebuah lagi, menandakan arus elektrik mula mengalir.
“Semasa panel solar masih agak murah, kami membeli satu dan sentiasa memindahkannya mengikut arah matahari,” kata lelaki berumur 60 tahun itu, yang terpaksa berpindah akibat peperangan antara Israel dan Hamas, kepada AFP.
Perang tersebut tercetus akibat serangan pergerakan Islam Palestin pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel.
Namun selepas tiga tahun berperang, harga barangan melonjak tinggi berikutan bantuan dan bekalan komersial yang memasuki Gaza kawalannya diketatkan di pintu sempadan oleh Israel.
Satu panel solar kini berharga sekurang-kurangnya 15,000 shekel (hampir $5,000), nilai yang tidak munasabah bagi kebanyakan penduduk Gaza, kata Dabary.
‘Mengubah segala-galanya’
“Kami tidak mempunyai pekerjaan atau pendapatan selama tiga tahun,” tambahnya. “Ketika itulah idea turbin angin timbul. Mengapa tidak memanfaatkan angin? Jadi kami mengambil bahagian-bahagian terpakai daripada sisa runtuhan.”
Turbin tersebut dibina menggunakan motor skuter dan tangki air lama yang dipotong menjadi bilah kipas.
Apabila angin memutarkan bilah, ia memacu motor yang menjana tenaga elektrik.

Kuasa tersebut kemudiannya mengalir menerusi litar yang dipasang daripada komponen yang diselamatkan dari rumah yang hancur sebelum disimpan dalam bateri.
Ini memberi elektrik yang mencukupi untuk mengecas telefon bimbit, menyalakan lampu, menjalankan kipas serta pencukur elektrik, keselesaan kecil yang menjadi satu kemewahan bagi keluarga yang masih tinggal di dalam khemah dan pusat perlindungan.
Hampir keseluruhan penduduk Gaza telah berpindah sekurang-kurangnya sekali sepanjang perang, dan kebanyakan mereka kini tinggal di kawasan kecil yang masih di bawah pemerintahan Hamas, manakala Israel mengawal lebih 60 peratus daripada perimeter wilayah tersebut.
“Ia membantu kami bertahan… sehinggalah Tuhan menyelamatkan kami daripada ujian ini dan kami dapat pulang ke rumah,” kata Dabary, yang lebih mesra dipanggil Abu Ayman di kawasan tempatan.
Hasil janakuasanya masih kecil. Namun di kem pelarian yang sentiasa terputus bekalan, setiap watt amat bermakna.
Sistem ini “telah mengubah segala-galanya,” kata Saleh ben Hasan, 50 tahun.
Dengan perkhidmatan kesihatan dan ubat-ubatan yang sukar diakses di Gaza, bekalan elektrik ini juga membantu membolehkan peralatan perubatan terus beroperasi.
“Jika seorang kanak-kanak memerlukan nebuliser (alat sedut ubat) di tengah-tengah malam, kepada siapa lagi kami boleh berharap?” katanya. “Elektrik amat diperlukan… Jadi kami meminta bantuan saudara kami, Abu Ayman.”
– AFP
