Paten MicroLED Meningkat Hampir Dua Kali Ganda Di Korea Selatan

Permohonan paten untuk MicroLED telah meningkat hampir dua kali ganda di negara Korea Selatan. MicroLED merupakan teknologi paparan generasi terbaru yang dianggap mempunyai potensi besar di dalam dunia peranti harian manusia.

Statistik oleh Pejabat Harta Intelek Korea (KIPO) mendedahkan 120 paten telah diisi dalam permohonan kepada mereka pada tahun lepas berbanding 67 permohonan pada tahun 2016, 62 pada tahun 2015 dan 36 pada tahun 2014.



Untuk tempoh 10 tahun lepas sebanyak 358 permohonan telah diisi merangkumi 33.2% oleh syarikat tempatan dan 32.4% oleh syarikat asing.

Teknologi MicroLED meletakkan beberapa cip LED bersaiz mikro menjadi satu bentuk paparan. Setiap cip berfungsi sebagai piksel dan tidak memerlukan lampu latar seperti teknologi LCD yang menggunakan lebih banyak sumber bateri.



Syarikat seperti Samsung dan LG menumpukan perhatian kepada satu lagi teknologi LED iaitu OLED (Organic Light Emitting Diode). Berbanding OLED, MicroLED menawarkan ruang penyelidikan yang besar kepada organisasi seperti Apple yang dikatakan mahu membangunkan teknologi MicroLED mereka sendiri.